MESKIPUN gagal mempertahan kejuaraan dunia, perlu diakui bahawa beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih yang terbaik di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.

Mereka menjadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir, sebelum tewas kepada gandingan keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21 di Royal Arena.

Begitupun, beberapa kelemahan dikenal pasti Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, kesukaran pemain beregu negara untuk mengekalkan momentum hingga tamat perlawanan.

Rexy Mainaky (kanan) mengerah idea untuk memastikan pemain beregu dapat berada di tahap tertinggi sepanjang perlawanan.

“Kalau bagi saya, saya lihat prestasi pemain beregu khasnya menampakkan peningkatan. Mereka semua bermain dengan bagus.

“Hanya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak beraksi di tahap kemampuan mereka pada suku akhir.

“Mereka gagal mengekalkan rentak hingga habis perlawanan selepas mendahului.

“Sekarang perlu saya kaji dan berharap ia tidak berulang lagi selepas ini,” katanya.

Menurut Rexy semua beregu negara selepas ini akan meneruskan perjuangan ke Terbuka China bermula dari 5 hingga 10 September di Changzhou, China sebelum turun beraksi di temasya Sukan Asia, Hangzhou.

Rexy mahu semua pemain melupakan kekecewaan di Kejohanan Dunia dan bangkit pada dua kejohanan besar itu.