PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berpesan agar pemain-pemain generasi baharu tidak diberikan tekanan dan pujian melampau kerana dia bimbang ianya akan menghanyutkan mereka.
Dia mahu semua pihak mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepada bekas beregu lelaki emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang merudum prestasinya disebabkan tekanan dan dihujani dengan kata-kata pujian dan sanjungan.
“Saya berharap orang ramai, terutamanya peminat supaya memberikan ruang buat pemain-pemain muda untuk melalui proses langkah demi langkah bagi memenuhi potensi yang ada pada diri masing-masing.
“Jika anda semua ingat, ketika Kien Keat berumur 21 tahun dan Boon Heong 19 tahun, mereka disiram dengan pujian atas kejayaan awal mereka. Bagaimanapun, prestasi mereka selepas itu menjadi tidak konsisten, ibarat layang-layang yang terbang di udara,” katanya.
Legenda badminton Indonesia itu mahu menerapkan aspek berkenaan terhadap beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing apabila ditanya sama ada sedia untuk segera menghantar pasangan berkenaan ke kejohanan lebih besar.
“Saya mahu memahami mentaliti pemain-pemain muda kita terlebih dahulu. Aaron dan Kang masih muda, jadi saya tidak mahu mereka berdepan dengan tekanan,” ujarnya.
Sementara itu, Rexy akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan serta Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam berhubung pelan jangka panjang untuk beregu lelaki.
Ini selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sah bakal meninggalkan badan induk itu bermula 1 September 2024 kerana ingin bergerak sendiri dan BAM merestui dan menghormati keputusan yang dilakukan beregu nombor dua negara itu.
“Buat masa ini, ramai jurulatih yang berada di luar untuk Terbuka Jepun dan Korea Selatan. Sebaik mereka pulang, kita akan adakan pertemuan bersama presiden. Saya fikir sekarang kita ada tiga hingga lima beregu lelaki yang mampu mencabar Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” jelasnya.