PENGARAH Kejurulatihan (Beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berharap gandingan Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei akan terus mempamerkan keazaman bagi memperbaiki prestasi mereka.

Sandaran untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris juga masih diletakkan kepada gandingan tersebut yang dilihat belum mengeluarkan elemen kejutan yang dimiliki mereka.

Jelas Rexy, usaha tersebut hanya bakal direalisasikan sekiranya gandingan tersebut juga menunjukkan ‘inner will‘ yang tinggi untuk melangkah lebih jauh dan ianya bukan tertumpu kepada barisan kejurulatihan semata-mata.

“Kita harapkan kedudukan Izzuddin dan Sze Fei yang berada di kedudukan ke-10 sekarang ini dan mereka berupaya terus melawan untuk meningkatkan prestasi.

“Jangan hanya jurulatih yang mempunyai keinginan untuk anda beraksi di Sukan Olimpik 2024. Mereka juga harus mempunyai impian tersebut dan mempunyai kemahuan yang tinggi untuk beraksi di Olimpik 2024,” jelasnya kepada media.

“Kalau beregu wanita, Anna masih berdepan isu kecederaan lutut. Dia perlu enam bulan lagi untuk pemulihan. Ranking terkininya sekitar 25 dunia.

“Kita juga mengharapkan Man Wei Chong-Kai Wun Tee, sudah mendapat ranking ke-22 tempoh hari. Untuk tahun 2024, memang peluang mereka agak tipis,” katanya.

Selain itu, Rexy telah berjaya menghidu beberapa pasangan baharu yang dilihat mempunyai kombinasi solid dalam acara beregu jika digandingkan namun hanya akan mengumumkan kepada media dalam masa terdekat.

“Ada beberapa gandingan yang akan dimasukkan kerana saya melihat mereka solid namun kita akan umumkan kemudian sebab saya tidak mahu pemain lain keliru,” ujarnya.