PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata pemain dilihat telah bersedia untuk menghadapi PETRONAS Terbuka Malaysia 2022 yang bakal bermula pada Selasa.

Akui keadaan Man Wei Chong belum seratus peratus pulih, Rexy berkata dia akan memantau pemain tersebut dari masa ke semasa.

“Kita akan memantau Man Wei Chong kerana kondisinya selepas Sukan SEA, dia ada satu bulan buat rehab dan sedikit latihan.

“Kita harap kita boleh pantau dia dalam dua minggu ini kerana selepas Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia, ada kejohanan di Singapura dan Taipei. Tapi kita akan pantau dia dengan pasukan fisio dan pihak ISN (Institut Sukan Negara), yang sudah membantu kita,” jelas bekas pemenang pingat emas Olimpik 1996, Atlanta itu.

Sementara itu, Rexy turut mengakui bantuan sains sukan dan teknologi telah memudahkan untuk menganalisa kondisi pemain agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

 

Bagaimanapun, beregu lelaki negara tidak boleh memandang rendah pihak lawan setelah penarikan diri beregu No. 1 dunia yang digelar The Minions.

Ia kerana selain Indonesia, negara lain juga dapat memberi cabaran yang hebat kepada pasukan negara ekoran prestasi negara lain yang semakin meningkat secara mendadak.

“Dengan adanya bantuan dari MSN dan, ISN, masseur, strength conditioning dan video analisis, kita boleh nampak dengan jelas pemain elit yang baik untuk kita persiapkan untuk Olimpik dan Komanwel.

“Kita harapkan pemain kita akan melakukan yang terbaik apabila peluang telah diberi. Bukan apabila Kevin tiada akan menjadikan permainan mereka lebih baik, ada India, Denmark, Jepun, Korea, maknanya pasukan yang baik masih banyak.

“Ia terpulang kepada pemain kitalah dalam lapangan agar mereka memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan,” jelasnya.

Pasukan fisio telah memberi kebenaran untuk pasangan beregu ke 38 dunia itu untuk diturunkan ke gelanggang namun Rexy menegaskan dia akan memantau dari masa ke semasa keadaan atlet tersebut.

Baginya, ketiadaan Kevin Sanjaya dan Marcus Gideon bukanlah satu kelebihan buat pasukan kebangsaan kerana lawan dari negara lain turut merupakan pencabar hebat.