KEHADIRAN Jeffer Rosobin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), diharap membawa angin pembaharuan buat skuad perseorangan remaja negara, sekali gus membuka lembaran baharu buat skuad utama masa hadapan Malaysia.
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, pemilihan Jeffer dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sudah tentunya menepati ciri-ciri yang diingini badan induk badminton negara itu.
Menurutnya, reputasi jurulatih berusia 47 tahun itu yang berjaya membimbing jaguh perseorangan wanita Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung muncul juara Kejohanan Remaja Dunia 2017 selain pengalamannya menjadi jurulatih Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) dari 2017 hingga 2020, menjadi antara kriteria yang dimahukan BAM.
“Dia ada pengalaman sebagai pemain, sebagai jurulatih pula, dia ada pengalaman di Indonesia dan Singapura dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik di peringkat remaja.
“Dari segi teknik dan sebagainya mungkin, ada pada semua jurulatih tetapi saya harap Jeffer mampu berkongsi dengan pemain bagaimana menjadi seorang juara,” kata Rexy.
Menurut Rexy, Jeffer sudah mula berkerja pada Rabu lalu (1 November), adalah seorang pemain yang berdisiplin tinggi dalam keriernya.
Paling penting, Rexy menjelaskan bahawa Jeffer sudah mengikuti mesyuarat barisan kejurulatihan dan sudah menghantar perancangannya untuk perseorangan remaja negara.
“Dia sudah menghantar kertas kerja cadangan perancangan untuk skuad perseorangan remaja dan perkara ini juga sudah dibincangkan bersama Michelle Chai (Pengarah Pentadbiran ABM) dan hanya menunggu kelulusan,” kata Rexy.
Jeffer dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja kebangsaan, menggantikan kekosongan jawatan yang sebelum ini digalas Datuk Misbun Sidek.
Jeffer dalam pada itu, mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi jurulatih di Malaysia.