PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyahut baik seruan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Michelle Chai yang memperkenalkan dua prinsip untuk diaplikasikan pada tahun 2023 demi kemajuan badminton negara.

Jelasnya, pemilihan pemain selepas ini adalah lebih berlandaskan kualiti dan mengambil kira sikap dan tingkahlaku pemain sejauh mana keinginan mereka untuk berada di podium tertinggi.

“Kita tahu sudah ada dua prinsip yang telah diletakkan untuk tahun 2023 dan juga kita move on untuk tahun 2024. Kita ada Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

“Kita pun sudah berbincang dengan pengurusan. Memang kita perlukan kualiti dan bukanlah kuantiti kerana pemain yang masuk ke sini tidak dapat bermain berdasarkan ranking,” katanya.

Pearly Tan dan M. Thinaah prospek raih pingat Sukan Olimpik Paris 2024.

Secara peribadi, Rexy merujuk Pearly Tan dan M. Thinaah sebagai aset negara kerana sikap serta personaliti hebat yang ditunjukkan mereka diyakini merupakan prospek terbaik untuk meraih pingat di temasya Olimpik kelak.

ARTIKEL BERKAITAN : Michelle Chai letak dua prinsip kepada barisan kejurulatihan BAM menjelang 2023

Selain itu, Rexy turut berharap agar gandingan beregu lelaki sensasi negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebih ‘firm‘ dalam prestasi menjelang kejohanan mendatang serta mahu keyakinan tersebut dirasai sendiri pasangan beregu tersebut.

“Kami juga melihat dari aspek sikap samada mereka ingin maju atau tidak. Secara jujur, kita boleh lihat bahawa Pearly Tan-M. Thinaah mempunyai watak yang kuat untuk memenangi pingat.

“Saya juga mahukan dia mampu memberikan lebih. Untuk Aaron dan Wooi Yik, dia sudah membuktikan dia mampu menjuarai kejohanan dunia.

“Mereka perlukan lebih masa untuk lebih firm apabila bertanding. Bukan hanya dari jurulatih, tetapi ia harus keluar dari mulut pemain sendiri seperti Aaron dan Wooi Yik bahawa mereka yakin untuk mendapatkan emas,” ujarnya.