MAN Wei Chong-Tee Kai Wun masih belum mencapai kestabilan prestasi, biarpun berjaya mempertahan gelaran Terbuka Taiwan, Ahad lalu.
Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, kemampuan gandingan yang kini menghuni tangga ke-23 dunia, bangkit dari prestasi hambar di dua kejohanan selepas muncul naib juara Malaysia Masters, tetap satu pencapaian yang baik.
“Saya tidak setuju jika dikatakan Wei Chong dan Kai Wun sudah capai permainan yang stabil. Jika kita lihat di Malaysia Masters (naib juara)… prestasinya di (Terbuka) Singapura dan (Terbuka) Indonesia (pusingan awal).
“Di Malaysia Masters, mereka bermain tanpa banyak berfikir dan main saja tapi bila di Singapura dan Indonesia… mereka fikir orang mengharapkannya hingga ada tekanan.
“Selepas lihat mereka bermain di Malaysia Masters, memang logiklah jika orang ramai mengharapkannya, kerana orang tidak menganggap apa dicapainya itu satu kebetulan. Tetapi selepas itu pusingan pertama, kedua habis kena belasah,” kata Rexy, ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di ABM pada Selasa.
Beliau menjelaskan, prestasi Wei Chong-Kai Wun di Malaysia Masters bukan satu kebetulan kerana gandingan itu mengatasi semua beregu yang bagus.
Pada kejohanan Mei lalu itu, Wei Chong-Kai Wun mengatasi gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (pusingan pertama), Alexander Dunn-Adam Hall (pusingan kedua).
Mereka kemudian mengatasi dua gandingan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan (suku akhir) dan Leo Rolly Carnando (separuh akhir) sebelum tunduk kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di final.
Justeru, Rexy menyifatkan pasangan itu sudah memiliki ramuan untuk muncul juara namun kurang ada sifat tanggungjawab dan komitmen untuk beraksi dengan baik di setiap kejohanan disertai.
“Saya katakan kepada mereka, buktikannya di Terbuka Taiwan sebagai juara bertahan dan mereka membuktikannya.
“Mereka tidak boleh berhenti di sini dan perlu terus membuktikannya di kejohanan selepas ini, kejohanan berstatus Super500, 750 dan 1,000,” katanya.
Selepas muncul naib juara Malaysia Masters, pasangan terbabit terkandas di pusingan kedua Terbuka Singapura dan pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Begitupun, Rexy mengakui Wei Chong-Kai Wun masih meragui kemampuan diri menerusi cara mereka meraikan kejuaraan di Taiwan.
Menurutnya, gandingan itu tidak meraikannya dengan cara berlebih-lebihan kerana sedar mereka berada di tahap mana dan tidak mahu sikap meraikan berlebih-lebihan akan memberi tekanan kepada mereka pada kejohanan akan datang.
Gandingan terbabit akan menyertai Kejohanan Terbuka Korea dan Jepun, Julai ini dan Terbuka Australia pada Ogos.