BEKAS ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dilantik ke jawatan Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC (KUFC) yang baharu.
Rezal Zambery yang juga bekas pemain kebangsaan serta berpengalaman luas ketika kariernya sebagai pemain bertanggungjawab untuk memperbaiki dan meningkatkan program akar umbi dan pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau.
Menurut kenyataan dimuatnaik Facebook KUFC pada Khamis, selain aspek teknikal dia diberikan tanggungjawab yang cukup besar memantau dan melaksanakan keseluruhan program serta pembangunan bola sepak Kelantan United FC di negeri Kelantan.
“Pihak pengurusan Kelantan United FC percaya beliau berupaya membawa perubahan kepada program pembangunan bermula dari program akar umbi seterusnya mampu mengetengahkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Rezal Zambery mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kelantan United FC atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya.
Menurut Rezal, penerangan yang diberikan sangat jelas dengan beberapa projek besar yang akan dilaksanakan menyebabkan tertarik untuk bersama Kelantan United FC menjayakan projek yang dirancangkan tersebut.