Kredit Foto : KDN FC
REZAL Zambery Yahya, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Pembangunan Akar Umbi, dilantik sebagai penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) untuk musim 2024/25.
Rezal mempunyai pengalaman sebelum ini bersama Kelantan FC, di mana dirinya berkhidmat sebagai penolong jurulatih pada musim 2021 dan sebagai ketua jurulatih pada musim 2022.
Pengumuman pelantikan Rezal telah dibuat oleh Presiden KDN FC, Rozi Muhamad, semasa majlis menandatangani kontrak rasmi dan kejurulatihan kelab pada Isnin.
Rozi menyatakan keyakinannya bahawa Rezal dapat membantu dalam pembangunan pemain muda untuk bersaing dengan mantap, sejajar dengan pencapaian pasukan sebelum ini.
“Kehadiran dia tepat dengan masanya kerana kita yakin dia mampu membantu Kelantan Darul Naim FC membangunkan pemain muda untuk bersaing hebat seperti mana dilakukan dengan pasukan sebelum ini.
“Dengan Kelantan Darul Naim FC juga mempertaruhkan bakat muda tempatan serta import berpengalaman, Insya Allah padanan Rezal bersama jurulatih yang telah kita ambil akan membolehkan Sang Kijang Emas memberi cabaran hebat.
“Kita juga percaya gandingan ketua jurulatih yang dibawa masuk dan Rezal akan meletakkan kita dalam landasan yang sebenar sekali gus menaikkan nama Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Malaysia musim 2024/25,” kata Rozi.
Selain itu, dalam majlis yang sama, Rozi Muhamad turut mengumumkan pelantikan Ashadi Mohamad Yusoff sebagai penolong jurulatih, Abdul Rahman Baba (jurulatih penjaga gol), Mohammad Fazrul Jafar @ Abd. Rahman (jurulatih kecergasan) serta kitman, Muhammad Shahrul Ridzuan dan Wan Mohd Najib.
Hanya pengumuman jurulatih baru yang bakal mengisi kerusi panas KDN FC belum didedahkan lagi dijangka diketahui dalam masa terdekat.