PEMAIN import Selangor FC, Reziq Banihani sah meninggalkan pasukan Lembah Klang itu dan akan bersama dengan sebuah kelab bola sepak di Jordan.

Perkara ini diumum secara rasmi di laman Instagram Selangor FC pada pada awal pagi Rabu, sekali gus mengesahkan ketiadaan tonggak penyerang itu bersama The Red Giants selepas ini.

Tidak dinafikan, Reziq yang berusia 22 tahun menampilkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan atas padang. Perkhabaran bahawa dia akan membawa haluan baharu bersama kelab di negara kelahirannya pasti mengecewakan penyokong Selangor FC.

“Penyerang muda Jordan, Reziq Banihani dengan rasmi telah meninggalkan kelab ini secara perpindahan tetap ke kelab lain di Jordan.

Reziq Banihani, penyerang Selangor FC.

“Kami mengucapkan terima kasih atas jasanya selama bersama dengan Gergasi Merah dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan,” menurut kenyataan Selangor FC.

Meskipun Selangor enggan menyebut nama pasukan baharu Reziq, namun teka teki akhirnya terjawab apabila dia diperkenalkan secara rasmi di skuad Al Hussein SC.

”Perkenalkan Reziq Banihani, bintang baharu The Royal Brigade,” ujar Al Hussein di laman rasmi pasukan.

Untuk rekod, Reziq yang hanya lima bulan beraksi di Liga Malaysia bagaimanapun telah berjaya mencatatkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam keseluruhan 10 penampilannya.