SELANGOR FC terpaksa melupakan khidmat pemain import muda Jordan, Reziq Bani Hani akibat kecederaan yang dialaminya.
Menurut laporan, bekas pemain Al-Faisaly itu perlu berehat selama enam minggu kerana mengalami kecederaan buku lali.
Dia mengalami kecederaan itu ketika perlawanan akhir RCTI Premium Sports menentang Persija Jakarta.
Ketika perlawanan itu, Reziq diterjah keras oleh seorang pemain Persija Jakarta dari belakang sehingga tidak dapat meneruskan permainan.
Penyokong Merah Kuning yang menonton perlawanan itu menyatakan rasa kerisauan mereka terhadap kecederaan yang dialami oleh penyerang muda Jordan itu.
Keresahan mereka nampaknya menjadi kenyataan apabila dia akan terlepas beberapa perlawanan Liga Malaysia sehingga akhir bulan Julai.
Kehilangan Reziq sedikit sebanyak akan merencatkan perancangan Nidzam Jamil dalam menghadapi beberapa perlawanan Liga Malaysia tanpa kelibat pemain yang meningkat naik itu.
Selangor akan memulakan aksi tanpa Reziq dengan bertemu Negeri Sembilan bagi perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium MBPJ pada Sabtu.