EDISI kelapan RHB Lekas Highway Ride 2023, berakhir malam tadi dengan kemeriahan selepas berjaya menarik lebih 6,000 peserta, sekali gus mengekalkannya sebagai acara kayuhan berbasikal terbesar di Malaysia pada waktu malam.
Menawarkan 14 kategori, acara kayuhan yang bermula di Plaza Tol Kajang Selatan dan berakhir di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) E21 itu, mengatasi 5,600 penyertaan bagi edisi tahun lalu.
Menariknya, ia turut berjaya menarik peserta dari lebih 30 negara termasuk Jerman, Jepun, Perancis, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Brunei.
Penyertaan menggalakkan itu memberikan gambaran jelas lebih ramai peserta akan mengambil bahagian dan tidak mustahil mampu melebihi angka 7,000 pada edisi kesembilan tahun depan.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad berkata, penganjuran kali ini membuktikan perpaduan semangat antara penunggang basikal, bukan sekadar jumlah peserta paling ramai.
“Edisi tahun ini juga memperkenalkan kategori baharu untuk penunggang basikal wanita bagi kategori veteran, sekali gus mengingatkan kita bahawa semangat tidak mempunyai batas,” katanya.
Keunikan saingan kali ini turut melibatkan penyertaan penuh inspirasi, 20 Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam kategori 22 kilometer (km).
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Lee Chun Fai berkata, pihaknya amat berbangga kerana kembali menjadi penaja lokasi bagi acara kayuhan berbasikal lebuh raya nombor satu pada sebelah malam itu.
“Lebih bermakna apabila penganjuran kali ini membabitkan penyertaan 20 peserta OKU menghayati semangat perpaduan dan menguji had mereka berlumba di sepanjang lebuh raya.
“Saya juga ingin merakam penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memastikan penganjuran ini berjalan lancar. Tahniah kepada semua peserta kerana berkongsi cita-cita menyempurnakan acara ini,” jelasnya.
Sebanyak 14 kategori dipertandingkan termasuk 120km terbuka lelaki dan wanita; 120km terbuka veteran lelaki; 120km terbuka korporat; 78km terbuka lelaki dan wanita; 78km terbuka veteran lelaki dan wanita; 78km dewasa lelaki dan wanita; 22km remaja lelaki dan wanita serta 12km kanak-kanak lelaki dan wanita.
Susulan kejayaan tahun lalu, penganjur turut memperkenalkan sesi pushbike untuk kanak-kanak berumur antara dua hingga lapan tahun sebagai permulaan bagi memupuk minat mereka dalam sukan berbasikal.