PEMAIN warisan, Richard Chin mengakui dia sememangnya teruja untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan secepat yang mungkin.
Bagaimanapun Richard perlu melengkapkan proses dokumentasinya terlebih dahulu dan berharap dapat diselesaikan dengan lancar bagi membuka peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk kejohanan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di Doha, Qatar pada Januari 2024.
“Ia adalah satu penghargaan buat saya bermain untuk Malaysia tetapi saya perlu lengkapkan proses dokumentasi terlebih dahulu. Saya berharap dapat bermain di Piala Asia tahun hadapan, tetapi saya perlu ikut proses dokumentasi satu demi satu terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Kelana Jaya.
Richard kini berada di Malaysia dan akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk proses dokumentasi sambil mengambil peluang untuk menghabiskan cuti di sini sebelum kembali ke England untuk memulakan latihan pra-musim bersama kelabnya Charlton Athletic.
Namun begitu meskipun teruja untuk mewakili Malaysia, pemain berusia 20 tahun itu tidak berminat untuk beraksi di Liga Malaysia sebaliknya mahu menumpukan perhatian bermain dalam liga di England.
“Saya akan mengharungi latihan pra-musim tidak lama lagi dan sekiranya dapat mempamerkan aksi terbaik di sana ia akan meletakkan saya di posisi terbaik untuk dipanggil menyertai skuad negara.”
“Saya mahu kekal di sana kerana sasaran saya adalah mahu bermain di Liga Perdana Inggeris tetapi saya mahu bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia,” tambahnya.