PASUKAN Penang FC berjaya mendapatkan khidmat dari seorang pemain pertahanan Selangor FC, Richmond Ankrah yang akan bersama dengan mereka menjelang aksi Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Menerusi satu kiriman rasmi di Instagram rasmi Penang FC, mereka telah memperkenalkan status pemain dari Ghana itu, dan gembira akan kehadirannya bersama skuad Harimau Kumbang untuk musim 2024-2025.

“Memperkenalkan pemain baharu pasukan Penang FC musim 2024, Richmond Ankrah dari Ghana kini Harimau Kumbang!

“Richmond Ankrah, pemain pinjaman dari Selangor FC ini lahir pada 22 Februari 2000 di Accra, merupakan pemain bola sepak profesional dari Ghana yang bermain sebagai pemain pertahanan.

“Pemain muda yang mempunyai ketinggian 1.90 meter ini telah membuat 13 penampilan bersama pasukan Selangor dan tampil dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 menentang JDT dan telah menjaringkan gol senior pertamanya dalam kemenangan 3-1 menentang Terengganu FC pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2022,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Instagram Penang FC.

Untuk rekod, Richmond telah bersama dengan Selangor selama dua tahun dan berjaya mencipta satu jaringan pada aksi Piala Malaysia 2022.

Richmond juga merupakan pemain kedua Selangor yang telah dipinjamkan ke Penang untuk musim 2024/2025, selain penjaga gol muda Selangor, Sikh Izhan yang turut menjadi tambatan Penang untuk bersama dengan pasukannya.