INSTITUT Jantung Negara (IJN) akan menganjurkan acara berbasikal yang paling dinantikan iaitu Ride 4 Your Heart 2023 pada 27 Mei ini.

Program ini merupakan edisi yang ke tiga sejak ianya mula dilancarkan pada tahun 2017 lalu dan kali ini diadakan di Kuala Terengganu sebagai salah satu usaha merancakkan pelancongan di Malaysia sempena tahun melawat Terengganu.

Pengarah Cardiovascular Sports and Fitness, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon menekankan program ini juga menunjukkan komitmen IJN dalam mengutamakan kehidupan yang sihat dan menyeru orang ramai untuk terlibat sama.

“Sebagai satu-satunya pusat pakar jantung di Malaysia, IJN mempunyai komitmen yang teguh terhadap kesihatan jantung negara.

“Inilah sebabnya kami sentiasa mencari cara untuk membantu lebih ramai orang awam menjaga jantung mereka dengan lebih baik, serta kesihatan mereka secara menyeluruh,” katanya dalam sesi sidang media pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan matlamat mengadakan Ride 4 Your Heart untuk menggalakkan peserta daripada semua peringkat umur dan menilai tahap kecergasan melalui faedah berbasikal.

 

Jelas beliau lagi, laluan berbasikal yang disediakan adalah berbentuk cabaran namun masih berada dibawah kawalan penunggang mengikut status kesihatan mereka.

“Oleh kerana berbasikal antara aktiviti yang lasak, kami juga telah menyediakan langkah berjaga-jaga dan menyediakan perlindungan yang diperlukan dalam memastikan kesihatan peserta kami terjamin sepanjang acara berlangsung.

“Dalam masa yang sama, kami juga menekankan kepada semua peserta untuk ambil maklum terhadap had badan sendiri dan melakukan senaman pemanasan badan serta kekal hidrat,” ujarnya lagi.

Turut serta sebagai penaja dalam acara Ride 4 Your Heart 2023 adalah Libroff Sdn Bhd, Crestmax Auto (KT) Sdn Bhd, Hausboom, Rival Terengganu, Zoll Malaysia Medical Sdn Bhd, First Ambulance, N8 Sports Nutrition, The Barat Perhentian, UFC Velvet, Air Asia, Bzu Bzu, Kopetro Travel & Tours, Soyfresh, Pocari Sweat, Duyong Marina & Resort, Sutra Beach Resort Terengganu, Primula Beach Hotel, Paya Bunga Hotel Terengganu, Grand Puteri Hotel, dan Hotel Seri Malaysia Terengganu.