JAGUH muaythai negara, Mohd Rifdean Masdor sekali lagi menggegar arena Kejohanan Muaythai Dunia 2023 apabila muncul juara buat kali ketiga berturut-turut pada saingan yang berlangsung di Bangkok minggu ini.
Biarpun terpaksa naik satu kategori berat kepada 51 kilogram kerana akan beraksi dalam sirkit pro dunia dalam kategori sama hujung bulan ini, Rifdean tidak berdepan dengan masalah untuk menumbangkan wakil dari Thailand pada pusingan awal.
Kemenangan awal itu menambahkan momentumnya untuk pamer aksi cemerlang menewaskan atlet dari Uzbekistan dalam saingan akhir dengan mencatat keputusan 30-27.
Kejayaan tersebut tidak berhenti di situ sahaja apabila kem negara terus mencipta kejutan selepas Nur Amisha Azrilrizal juga cemerlang menewaskan pencabar dari Iran dengan keputusan 29-27.
Nur Amisha yang memenangi pingat gangsa pada tahun 2021 dan pingat perak pada tahun 2022 akhirnya bergelar juara dunia buat kali pertama selepas memberikan persembahan yang baik untuk tewaskan lawan yang lebih perpengalaman.
Dalam pada itu, keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memasukkan acara Wai Kru dan Mai Muaythai dalam edisi Sukan Malaysia (Sukma) juga mendapat pulangan baik apabila atlet negara menyumbang tiga pingat emas selepas bertarung selama beberapa hari sebelum ke pusingan akhir.
Pasukan Wai Kru dan Mai Muaythai yang semuanya adalah pemenang Sukma 2022 dari Sabah cemerlang di peringkat akhir.
Yan Jia Chi cemerlang memungut mata tertinggi menewaskan peninju dari Filipina di pusingan akhir bagi acara Wai Kru wanita Bawah 23 Tahun (B-23). Manakala Dariss Muzzamiel Mahadi pula menewaskan pejuang dari Hong Kong dengan pungutan mata tertinggi bagi kategori Wai Kru lelaki B-23.
Dariss Muzzamiel sekali lagi cemerlang selepas berpasangan dengan Asyraf Daniel apabila memungut mata tertinggi dalam disiplin Mai Muaythai untuk tewaskan pasangan dari Filipina LJ Rafael Yasay dan Adelle Vincent Rosales untuk emas terakhir Malaysia di Kejohanan Muaythai Dunia.
Atlet pelapis Malaysia dari Perak Muhammad Fadzmi Aiman juga memberikan persembahan baik dalam penyertaan kali pertama di kejohanan dunia selepas mengejutkan lawan dari Kazakhstan di peringkat suku akhir dan Morocco di peringkat separuh akhir sebelum terpaksa akur dengan peninju dari Uzbekistan di peringkat akhir dengan keputasan 27-30 untuk membawa pulang pingat perak.
Manakala atlet dari Johor, Jesse Ethan Lal turut menyumbang pingat gangsa dalam kategori 48kg Lelaki B-23. Turut membawa pulang pingat Perak pasangan Mai Muaythai negara Myra Arina Roslan dan Derora Dane Daniel David.
Presiden Muaythai Malaysia Datuk Shahnaz Azmi berkata, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian semua atletnya kali ini.
“Semua atet tidak mudah mengalah walaupun berhadapan dengan atlit yang mempunyai fizikal lebih besar dan lebih berpengalaman.”
Pasukan Malaysia diiringi pengurus Tengku Rozaini bersama ketua jurulatih negara yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Muaythai Malaysia Bernard Radin.
Secara keseluruhan skuad muaythai negara pada Kejohanan Muaythai Dunia tahun ini menghantar atlet seramai 10 orang dan berjaya membawa pulang lima emas , dua perak dan satu gangsa.
Rekod:
Mohd Rifdean Masdor:
IFMA Juara Remaja Dunia 2019
Naib Juara Dunia 2019
Juara Dunia 2021
Juara Dunia 2022
Juara Dunia 2023
Nur Amisha Azrilrizal:
IFMA Juara Remaja Dunia 2016
IFMA Juara Remaja Dunia 2019
Gangsa Kejohanan Dunia 2021
Perak Kejohanan Dunia 2022
Juara Dunia 2023