KETUA jurulatih Republik Krygyz, Stefan Tarkovic sedar akan kekuatan pasukan Malaysia kini dan atas sebab itu dia memastikan skuadnya tiba awal ke Kuala Lumpur untuk mengadaptasi keadaan setempat terutama cuaca menjelang aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Tarkovic yang baru mengambil alih tugasan sebagai ketua jurulatih pada Mei juga menganggap perlawanan bertemu Harimau Malaya ini adalah cabaran terbesarnya dan dia mahu membawa sesuatu yang baharu dalam skuad Krygyztan yang kini di tangga ke-97 dalam ranking dunia Fifa.
“Sebagai jurulatih sentiasa tidak pernah cukup masa untuk mempersiapkan pasukan. Kamu lakukan yang terbaik untuk mengadaptasi keadaan dengan datang lebih awal kerana perbezaan masa dan cuaca dan kami akan berikan persembahan terbaik.
“Skuad Malaysia kini berada pada tahap terbaik dan mereka menampilkan persembahan yang baik tetapi kami lebih fokus kepada diri kami sendiri dan pemain bersedia untuk mewakili negara dan mendapatkan kemenangan.
“Banyak pemain Malaysia yang perlu diperhatikan tetapi kami percaya setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan mereka. Saya juga ada mendapatkan pandangan daripada mereka yang saya tahu di Malaysia untuk bantu saya persiapkan pasukan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Pengendali Serbia itu juga yakin dia membawa pasukan yang berbeza untuk bertemu Malaysia kerana Republik Krygyz dilihat seakan-akan mempunyai masalah apabila beraksi bertemu pasukan Asean apabila hanya mampu seri dengan Myanmar dan tewas kepada Filipina.
“Perlawanan esok sangat penting buat kami dan saya membawa pasukan yang berbeza dengan kesemua pemain utama ada dalam pasukan berbanding sebelum ini dan aksi bertemu Malaysia ini bagus sebagai persiapan kami menentang pasukan Asia Tenggara lain di Piala Asia selepas ini,” jelasnya.
Sementara itu pertahanan Republik Krygyz, Tamirlan Kozubaev pula berkata dia menjangkakan aksi yang sukar pada Khamis kerana Malaysia kini sangat berbeza dengan lebih ramai pemain yang berkualiti membarisi pasukan.
“Satu perlawanan yang sukar kerana Malaysia kini mempunyai salah satu pasukan terbaik berbanding dahulu dengan pemain yang berkualiti tetapi seperti kata jurulatih, kami sudah bersedia sepenuhnya,” katanya yang pernah beraksi bersama kelab PKNS FC di Liga Super pada 2019.