PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin menjelaskan bahawa permohonan dana RM15 juta daripada Kementerian Belia Sukan adalah untuk penganjuran program akar umbi bagi 25 buah persatuan sukan para.
Megat Shahriman mengambil maklum mengenai penjelasan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang bertegas dana hanya akan disalurkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sahaja.
“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, peruntukan bukan untuk MPM tetapi saya minta untuk 25 buah persatuan para kebangsaan.
“Ini kerana MPM ada dalam Akta Sukan 2018 dan kita ada proses perolehan yang tertib dan ikut semua tatakelola yang perlu untuk membantu menyalurkan dana tersebut terus kepada persatuan.
“Kita juga mengamalkan tadbir urus yang terbuka dan ambil penuh tangungjawab.
“Setelah sekian lama persatuan para kebangsaan tidak dapat dana atau peruntukan untuk menjalankan program akar umbi dari negeri hingga kebangsaan.
“Dana penganjuran dan peruntukan untuk kejohanan dan pertandingan adalah bukan membina akar umbi.
“Ini hanya penganjuran. Manakala akar umbi bermula awal dari sudut latihan, sistem latihan, klasifikasi dan strength and conditioning,” jelas Megat Shahriman.
Bagi lebih menjelaskan lebih lanjut permintaan peruntukan ini, Megat Shahriman memberitahu daripada RM15 juta itu, setiap persatuan para kebangsaan akan mendapat RM600,000.00 setahun.
RM600,000 (untuk 1 Persatuan Para Kebangsaan)
RM600,000 ÷ 14 Persatuan Para Negeri = RM42857.14
Satu persatuan negeri dapat rm42,000 setahun ÷ 12 bulan = 1 bulan perbelanjaan RM3571.42
“MPM berbeza dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana lebih dari 10 sukan Para ditadbir dan kendali oleh International Paralympic Committee (IPC SPORTS).
“Secara tidak langsung MPM juga harus memastikan pengendalian akar umbi 10 sukan Para ini berada dilandasan yang baik agar Persatuan Para Kebangsaan dan potensi anak-anak OKU untuk menceburkan bidang dalam sukan Para sentiasa terbuka dan terbela.
“Jika tidak ada sebarang dana akar umbi dari pihak KBS kepada Persatuan Para Kebangsaan kita harus terima dengan penjelasan YB Menteri.”
Bagaimanapun Megat Shahriman akur dengan keputusan KBS yang hanya akan menyalurkan peruntukan kepada MSN dan menyuruh MPM mencari sendiri dana.
“Penjelasan yang diberi oleh YB Menteri jelas di mana semua persatuan para kebangsaan harus mencari dana sendiri dan berdiri dengan sendiri.
“Ini secara tidak langsung melumpuhkan talent bank setiap persatuan para dan memberi kesan yang negatif dalam usaha persatuan para menarik minat dan impak negatif kepada semua ibu bapa yang mempunya anak OKU di mana sukan para atau OKU juga tiada tempat bagi mereka untuk bergantung mengubah nasib hidup anak-anak mereka.”
Pada Pembentangan Bajet 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih RM230 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan sukan negara, termasuk untuk program podium, latihan, projek Road to Gold dan persiapan atlet para bagi acara antarabangsa, termasuk Deaflympics 2025 di Tokyo.