MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara rasmi mengumumkan bahawa pemenang pingat emas pertama untuk Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2 juta.

Beliau menyatakan bahawa hadiah ini diberikan untuk meningkatkan taraf hidup atlet Malaysia.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara. Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Jumaat.

Sementara itu, Chef de Mission Kontinjen Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin sangat teruja kerana ramai badan korporat tampil memberikan sokongan mereka kepada kontinjen negara.

“Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat. Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara,” ujanya.

KBS hari ini mengumumkan tiga lagi penaja yang telah menyatakan minat mereka untuk menaja atlet yang akan memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024.

Hadiah berkenaan ditaja oleh tiga syarikat korporat Malaysia iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad, dan MJ Health Screening Centre.

Selain itu, atlet Malaysia yang memenangi emas juga akan menerima sebuah kenderaan SUV mewah daripada syarikat CHERY sebagai hadiah tambahan.

Majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada pukul 1 pagi waktu Malaysia esok.