KOS sebanyak RM700 juta diperlukan bagi menganjurkan Sukan Sea 2027, melibatkan empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, sabah dan Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kos itu bagaimanapun tidak akan ditanggung sepenuhnya kerajaan, sebaliknya akan turut dibantu tiga negeri yang sudah menyatakan kesediaan menganjurkan temasya sukan tersebut.

Penganjuran Sukan Sea 2027 dijangka menelan kos RM700 juta.| FOTO KBS

Menurut Hannah, kos itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira penganjuran ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 yang turut diadakan di Kuala Lumpur.

“Untuk Sukan SEA 2027, (sebelum ini) kita sudah hantar surat kepada semua pimpinan negeri dan jemput mereka untuk jadi penganjur bersama. Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri menjawab untuk menanggung (kos).

Penilaian kos penganjuran dibuat berdasarkan ukuran ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Sea 2017. | FOTO Agensi

“Anggaran (kos penganjuran) adalah RM700 juta. Anggaran ini dibuat berdasarkan Sukan SEA 2017 dan selepas kita menolak semua komitmen serta peruntukan negeri, jadi persekutuan tak perlu tanggung banyak,” katanya, ditemui di Pelancaran Sesi Libat Urus TNB bersama Industri Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Beliau mendedahkan, Sarawak menjadi penyumbang terbesar antara tiga negeri terbabit apabila menanggung separuh daripada kos penganjuran, iaitu melebihi RM300 juta manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.

Sarawak sedia menanggung lebih dari separuh kos penganjuran Sukan Sea 2027. | FOTO KBS

Beliau menganggap penganjuran bersama itu merupakan satu langkah bijak kerana membuka ruang buat peminat dan atlet untuk merasai suasana berbeza kerana acara-acara sukan tidak berpusat di satu negeri.

“Nanti ada empat lokasi dan bukannya di Kuala Lumpur sahaja, jadi penjimatan dan tanggungjawab bersama itu wujud. Atlet-atlet dan peminat juga boleh merasai suasana yang lebih berbeza berbanding kebiasaan,” ujarnya.