KEMENTERIAN Belia dan Sukan mengumumkan pembentukan pasukan projek Road to Gold (RTG), bagi menyelaras usaha meraih pingat emas Sukan Olimpik yang pertama.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, projek itu membabitkan rangka kerja jangka pendek dan jangka panjang meliputi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Hannah berkata, projek terbabit mengambil kira projek Olimpik sebelum ini berikutan Paris 2024 hanya berbaki kira-kira setahun.

“Jawatankuasa ini akan berkerjasama dengan Program Podium sedia ada, membabitkan persediaan atlet elit dari segi latihan harian, luar negara termasuk pendedahan pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri,” kata Hannah pada sidang media Penubuhan Jawatankuasa ‘Road To Gold’, di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.

Road to Gold dipengerusikan bersama Hannah sendiri dan juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dibantu jawatankuasa RTG yang akan memperkasa Program Podium sedia da yang diketuai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) di bawah pemantuan Kementerian.

Seramai lapan ahli jawatankuasa dilantik secara sukarela dibarisi Ketua Setiausaha KBS, Ts Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Mohd Ramli, Datuk  Ahmad Najmi Abdul Razak, Datuk Lee Chong Wei, Datuk  Mirnawan Nawawi; Ahli Lembaga Pengurusan MSN, CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam, dan CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai.

Sementara itu, Stuart dan Michelle akan turut memainkan peranan sebagai Penyelaras Projek dan Pembantu Penyelaras Projek, berdasarkan pengalaman mereka berurusan dengan badan serta agensi sukan antarabangsa.

Sementara itu, Norza berkata, atlet-atlet yang akan dimasukkan ke dalam RTG membabitkan bekas medalis Olimpik seperti jaguh berbasikal trek Datuk Azizulhasni Awang dan pemain badminton beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Antara kriteria lain termasuk atlet yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia. Ketika ini, kita anggap pemilihan dalam proses pra matang kerana ada sukan yang belum memulakan saingan mengutip mata bagi kelayakan ke sukan olimpik.

“Sebab itu, penyelaras projek kena kenal atlet dalam podium, apa bentuk bantuan kepada atlet yang diperlukan, apa jurang mereka sekarang dan apa yang kita mahu capai,” kata Norza.

Bagaimanapun, senarai atlet dan jumlah dana yang diperlukan bagi projek itu hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada sidang media terbabit, Azizulhasni yang kini berada di Mesir bagi menghadapi saingan pusingan kedua Piala Negara-Negara turut menyertai sidang media itu menerusi siaran video atas talian.

Terdahulu, Hannah mengumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Chef de Mission ke Olimpik Paris 2024, manakala timbalannya, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.