BEKAS atlet Australia, Robert J Ballard akan kembali berkerjasama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang merancang melantiknya sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan buat kali kedua, dalam usaha untuk mengembalikan maruah olahraga negara.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan KOM, Datuk Mark Ling selepas mengadakan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Pengendali berusia 58 tahun itu ditawarkan kontrak selama dua tahun, dengan pilihan tambahan setahun.

Ballard, pernah menyandang jawatan sama dalam KOM pada Februari 2014 sebelum meninggalkan badan induk sukan olahraga negara pada Disember 2015, selepas prestasi buruk skuad negara di temasya Sukan Sea Singapura, yang hanya membawa pulang tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Robert Ballard dijangka memulakan tugas bersama KOM pada Ogos depan.

“Saya gembira apabila Majlis Sukan Negara (MSN) merestui pilihan kami. Pemilihan Ballard ini bukan pilihan saya sendiri, sebaliknya mendapat persetujuan daripada barisan jurulatih, bekas jurulatih dan atlet senior yang pernah berkerjasama sebelum ini.

“Saya cuba berhubung dengan barisan jurulatih untuk bertanyakan kepada mereka siapa yang mereka rasa bagus untuk mereka, kerana mereka yang perlu bekerjasama apabila jawatankuasa ini membuat keputusan.

“Dia (Ballard) dijangka akan mula melapor diri pada Ogos dengan kontrak selama dua campur satu, dan selepas itu kita akan membuat penilaian untuk yang selanjutnya,” kata Mark.

Pelantikan Robert Ballard sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM bukan untuk menggantikan jawatan ketua jurulatih olahraga kebangsaa. -Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (KOM), Datuk Wira Mark Ling.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (KOM), Datuk Wira Mark Ling (dua dari kiri) gembira Majlis Sukan Negara (MSN) merestui pemilihan Robert Ballard sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Mark berkata, Ballard bukan menggantikan kedudukan bekas ketua jurulatih negara, Zaki Sadri yang tamat kontraknya pada 31 Mei lalu, sebaliknya tugas Ballard adalah menyeragamkan semula sistem kejurulatihan dan bakal bekerjasama dengan beberapa pihak untuk memastikan asas akar umbi dapat dibentuk dengan baik.

Robert Ballard pernah dilantik sebagai Pengarah Teknikal KOM, pada 2014, di zaman Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan. Pix Sports 247

“Pengarah Teknikal yang baru ini akan bekerja dalam struktur yang baru yang turut akan ada pembabitan daripada pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Jika kita tidak melibatkan mereka, tiada guna untuk mewujudkan formula baru ini bagi atlet elit kerana anda tahun formula itu tidak kukuh dan hanya tertumpu kepada pungutan pingat, dan bukannya perkembangan akar umbi,” tambahnya.

Untuk rekod, Ballard adalah bekas Penasihat Prestasi Institut Sukan Tasmania, Australia.