BEREGU campuran negara, Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei, akan dipisahkan buat sementara waktu dalam usaha untuk menilai semula keserasian mereka sebagai pasangan dalam lima kejohanan mendatang.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky berkata, dua gandingan terbabit juga telah mendapat pasangan ganti.

“Keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama jurulatih beregu campuran, Nova Widianto, dan pihak pengurusan.

“Toh Ee Wei akan digandingkan dengan pemain muda, Loo Bing Kun, manakala Tang Jie bakal berpasangan dengan Chan Wen Tse,” kata Rexy, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky

Beliau menegaskan, langkah merombak gandingan buat sementara itu diambil selepas prestasi pasangan terbabit kurang konsisten sejak kebelakangan ini, sekali gus mendorong pasukan kejurulatihan mencari solusi terbaik.

Tegas Rexy lagi, keputusan memisahkan beregu yang kini berada di ranking keempat dunia itu, tidak dianggap sebagai bentuk hukuman, sebaliknya mahu memberi peluang kepada kedua-dua pemain menilai kembali potensi mereka, selain membolehkan barisan pelapis mendapat pengalaman lebih luas.

Tambah beliau, bersama gandingan baharu, Tang Jie dan Ee Wei akan mengharungi lima kejohanan yang dipilih untuk menjadi medan menilai prestasi, termasuk Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand, Malaysia Masters, serta Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

“Dalam tiga kejohanan awal, prestasi mereka akan dinilai secara teliti sebelum keputusan akhir dibuat sama ada untuk kembali bergandingan atau meneruskan hala tuju baharu bersama pasangan masing-masing.

Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei akan dipisahkan buat sementara waktu

“Nova sendiri menegaskan bahawa eksperimen ini akan memberi ruang kepada kedua-dua pemain untuk melihat gambaran lebih jelas mengenai potensi mereka bersama pasangan baru dan sama ada mereka lebih efektif dalam kombinasi berbeza,” ujar Rexy.

Jurulatih yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa itu turut memperincikan bahawa Ee Wei memiliki perwatakan yang tegas dan mahukan kemenangan sementara Tang Jie pula agak pendiam, yang mungkin mencetuskan kurang komunikasi dan keserasian di gelanggang.

“Saya harap mereka dapat melihat semula apa yang terbaik untuk mereka. Kalau mereka sedar bahawa mereka sebenarnya lebih baik bersama, maka mereka boleh kembali lebih kuat. Jika tidak, kita akan lihat pilihan lain.”

Dalam pada itu, Rexy turut mengumumkan bahawa Tang Jie meminta untuk beraksi dalam satu lagi acara selain beregu campuran, iaitu beregu lelaki.

“Saya telah berbincang dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi dan beliau bersetuju menunaikan hasrat Tang Jie.

“Herman menamakan Wong Vin Sean sebagai pasangan baharu beregu lelaki kepada Tang Jie.”