PENYERANG naturalisasi negara, Romel Morales bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa dan memberikan aksi terbaik jika dia dipilih oleh Kim Pan-gon untuk mengetuai serangan Harimau Malaya ketika bertemu Oman pada Khamis.
Dia juga sedar akan kepentingan dua perlawanan menentang Oman ini kerana dia telah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekiranya berjaya mencatat keputusan positif dari Muscat.
Penjaring gol penyamaan ketika membantu Malaysia mengikat Republik Korea pada Piala Asia yang lalu juga menyatakan dia gembira dengan panggilan kedua skuad kebangsaan dan bersedia untuk dijaga rapi oleh pertahanan lawan.
“Sangat teruja untuk panggilan kali kedua ini dan saya sudah mempunyai pengalaman dari panggilan ke Piala Asia sebelum ini serta kami juga banyak belajar perkara baharu dan rasa semakin baik sebagai satu pasukan untuk menghadapi dua perlawanan penting ini.
“Keadaan kami baik meskipun ‘off season‘ dan sedar bukan mudah tentang kecergasan tetapi kami perlu ‘push ourselves‘. Oman banyak yang tidak diketahui tetapi kami hanya fokus kepada diri sendiri dan cuba mendapat tiga mata.
“Saya akan cuba berikan yang terbaik tanpa mengira bila saya dimasukkan dalam permainan kerana bermain untuk Malaysia bermaksud anda mewakili seluruh negara dan penyokong mempunyai harapan yang tinggi.
“Jadi apa yang perlu dilakukan adalah bermain dengan baik untuk memberikan kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Muscat, Oman.
Romel yang mempunyai kira-kira 75 minit masa perlawanan selepas bermain dalam dua perlawanan kompetitif – bertemu Police Tero bersama JDT dan Nepal bersama Harimau Malaya yakin ianya mampu memberikan kecergasan perlawanan buat dirinya dan gembira kerana dapat mengadaptasi kedua-dua sesi latihan dengan baik.
“Berlatih dengan JDT sangat baik kerana mereka mempunyai fasiliti yang baik dan ini membantu saya apabila tiba di kem kebangsaan kerana sistem latihan yang hampir sama dan saya rasa bersedia untuk perlawanan ini.
“Sebagai pemain sudah tentu kami cuba mendapatkan minit seberapa banyak yang boleh dengan latihan kem kebangsaan juga berintensiti tinggi dan kini hanya perlu mengikut arahan jurulatih,” tambahnya.
Ketajaman Romel di depan gawang sudah pasti akan dituntut Kim Pan-gon untuk merobek gawang Oman jika ingin sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari Muscat sebelum berhadapan lawan yang sama di Bukit Jalil pada 26 Mac nanti.