PEMAIN Kuala Lumpur City FC dari Colombia, Romel Morales nyata teruja dan gembira dengan kehadiran penyerang terbaharu musuh setempat mereka Selangor FC yang juga dari Colombia, Ayron Del Valle.

Morales menyifatkan Ayron adalah pemain yang berpengalaman dan dia berharap dapat bertemu satu sama lain kerana sejak kecil dia sering menonton perlawanan yang disertai Ayron dalam Liga Colombia.

Dia yang membantu KL City muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan kini dilihat semakin selesa beraksi di posisi kegemarannya selepas skuad The City Boys berjaya mengikat dua penyerang utama untuk membantu pasukan menjaringkan gol.

“Ayron adalah pemain yang terkenal di Colombia dan saya mengenalinya kerana dia bermain dengan banyak pasukan yang bagus di sana. Pada awalnya saya terkejut apabila mendapati dia datang bermain di Liga Malaysia tetapi pada masa yang sama saya gembira kerana tidak banyak pemain Colombia bermain di sini dengan tahun lalu Titi Rodriguez bermain di Sri Pahang dan kini Ayron bermain di Liga Malaysia.

“Dia adalah pemain yang berpengalaman dan saya suka melihat cara dia bermain. Saya banyak kali menonton aksinya ketika berada di Colombia kerana dia bermain dengan banyak pasukan yang baik dan saya teruja dia bermain di sini dan berharap dapat berhubung dengannya dan saya jangka dia mampu membantu Selangor kerana dia adalah pemain yang bagus.

“Saya gembira kerana dapat kembali bermain di tengah. Ini kerana sepanjang karier saya bermain di tengah dan sudah tentu saya berasa lebih selesa kerana dapat memegang bola lebih lama dan boleh membantu pasukan. Ianya bagus untuk saya dan juga pasukan dan ini adalah idea sebenar untuk saya berikan yang terbaik kepada pasukan,” katanya yang memulakan musim ketiga bersama KL City.

Ayron Del Valle

Romel turut berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkannya serta rakan sepasukan terutama pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri dan kini semakin bersedia untuk memulakan kempen Liga Super 2023 menentang Penang FC pada 25 Februari 2023.

Dua bantuan jaringan daripadanya cukup untuk memberikan Piala Menteri Wilayah Persekutuan kepada Kuala Lumpur City selepas membenam Perak 3-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.