“SIAPA tak kenal dan mengidolakan Awang? Bukan hanya di India, di Eropah dan di mana-mana sahaja pelumba basikal tidak mengira usia menghormati dan kagum dengannya.”
Kenyataan itu dibuat Ronaldo Laitonjam, pelumba basikal trek India yang menganggap Datuk Azizulhasni Awang sebagai seorang ‘abang’ yang disenangi.
Menurutnya, jaguh trek berbasikal negara itu menjadi idola kepada pelumba muda di India, Eropah dan di mana sahaja tempat dikunjungi Pocket Rocketman.
“Dia adalah sumber inspirasi dan apabila bertemunya, kita akan mendapat motivasi.
“Saya sering berbual dengannya setiap kali ada peluang ketika menyertai kejohanan antarabangsa. Sama ada saya bertanya atau tidak, dia akan memberi nasihat mengenai cara saya berlumba dalam acara pecut, apa perlu dilakukan ketika berada di belakang, tengah atau hadapan,” kata Ronaldo.
Pelumba berusia 21 tahun berasal dari Manipur, utara India itu berkata, dia mengimpikan untuk menjadi pelumba terkemuka seperti Azizulhasni dan pada asalnya menetapkan sasaran beraksi di Sukan Olimpik Paris, namun terpaksa menangguhkan hasratnya kepada temasya Los Angeles 2028, semuanya gara-gara pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan sejak dua tahun lalu.
Tidak seperti nama dimilikinya, Ronaldo mengakui tidak pernah meminati permainan bola sepak sejak lahir.
“Sejak usia 8 tahun, saya bergiat dalam sukan tapi bermula dengan gimnastik, selepas itu saya menjadi atlet terjun, renang dan akhirnya beralih ke sukan berbasikal kerana saya gemarkan kelajuan,” kata Ronaldo, yang mengakui nama asal diberi bapanya adalah Ronaldinho.
Katanya, bapanya seorang tentera bertaruh ketika perlawanan bola sepak membabitkan Ronaldinho sewaktu berada di kem tentera dan kebetulan ketika ibunya sarat mengandung.
“Pertaruhannya menjadi dan dia memenangi sejumlah wang, ketika itu juga saya lahir lalu dia namakan saya sebagai Ronaldinho. Tapi ketika zaman persekolahan, saya menukar nama saya kepada Ronaldo kerana berasakan Ronaldinho terlalu panjang dan sukar disebut.”