CRISTIANO Ronaldo kekal penting buat skuad kebangsaan Portugal selepas penyerang veteran itu membantu kemenangan ke atas Luxembourg pada kelayakan Euro 2024.
Dua gol jaringan pemain berusia 38 tahun itu membuatkan pengurus Roberto Martinez optimis, Ronaldo masih aset pasukan.
Ronaldo membuka jaringan buat juara Euro 2016 itu menerusi tandukan hasil hantaran Nuno Mendes sebelum meledak gol kedua peribadi pada minit ke-31, pada perlawanan yang menyaksikan Portugal menang 6-0.
Khamis lalu, Ronaldo turut menjaringkan dua gol ketika menentang Lichtenstein, sekali gus melebarkan rekod kepada 198 penampilan dan 122 gol antarabangsa.
“Cristiano pemain yang unik di dunia, kap antarabangsa tertinggi dan pengalamannya amat penting dalam bilik persalinan.
“Setiap pemain ada peranan, pemain muda penuh dengan keazaman manakala pemain seperti Cristiano Ronaldo, Rui Patricio dan Bernardo Silva penuh dengan pengalaman, jadi adalah penting untuk mempunyai skuad yang lengkap,” kata Martinez yagn mengambil alih Portugal daripada Fernando Santos yang melatih skuad kebangsaan negara itu sejak 2014.
Pengendali berasal dari Sepanyol itu mendapat rentak baik apabila mendahului kumpulan J dengan enam mata, 10 jaringan dan tidak bolos.
Pada perlawanan itu, Joao Felix, Bernardo Silva, Otavio, Rafael Leao masing-masing menjaringkan satu gol. – Agensi