PENYERANG baharu Selangor FC, Ronnie Fernandez menjelaskan kehadirannya ke Shah Alam adalah untuk membantu Gergasi Merah membentuk pasukan yang kuat sekali gus dapat mencabar kejuaraan Liga Malaysia.

Pemain kelahiran Chile itu juga mahu menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya untuk membantu Selangor menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 yang pada pendapatnya satu kejohanan yang penting dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Saya gembira untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC dan saya tidak sabar untuk mengalami perasaan bermain untuk kelab besar Asia ini dengan beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 bakal menjadi sesuatu yang penting dalam karier saya.

“Objektif peribadi saya datang ke sini untuk membantu memperkuatkan pasukan dan mahu muncul juara. Saya bukan seorang yang suka bercakap banyak tetapi lebih menumpukan aksi di dalam padang dan berharap penyokong dapat menilainya,” katanya.

Ronnie yang mengidolakan rakan senegara, Arturo Vidal mahu segera mengadaptasi dengan rakan-rakan sepasukannya bagi memastikan dia mampu membentuk keserasian untuk dia memberikan 100 peratus ketika latihan.

“Saya berpendapat setiap pemain bola sepak perlu cepat mengadaptasi dengan mana-mana pasukan yang disertai. Saya yakin akan mendapat kepercayaan dari rakan-rakan sepasukan terutama apabila mereka melihat usaha yang saya berikan,” jelasnya.

Dia bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyerang Colombia, Ayron Del Valle dan sudah pasti ianya bukan tugas yang mudah terutama namun dia bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi musim ini.