OLEH MOHD FARIQ

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim telah dilantik menjadi Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, jawatan itu disandang oleh Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman dan dilepaskan pada tahun lalu sebelum beliau terpilih menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pada awal tahun ini.

Rosman,60, yang pernah menjadi senior staf pengurusan New Straits Times Press (NSTP) satu ketika dahulu dan merupakan Ahli Jawatankuasa Futsal FAM, bukan satu nama asing dalam industri bola sepak negara.

Beliau memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun di dalam dunia bola sepak tempatan selain memegang pelbagai komiti dalam FAM sebelum ini.

Rosman (kanan) merupakan Ahli Jawatankuasa Futsal FAM.

Beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung FAS bagi menggantikan mantan, Datuk Hamidin Mohd Amin pada 2013 sebelum melepaskan jawatan itu lima tahun kemudian.

Rosman kini telah memulakan tugasan rasmi sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM sejak 15 Ogos yang lalu.

Rosman dijangka bakal menjadi instrumen penting dalam barisan sekretariat bagi membantu Presiden FAM, Hamidin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.