FOTO : SABAH FC
Bagai sirih pulang ke gagang.
Hasrat Rozaimi Abdul Rahman untuk menabur bakti bersama kelab negerinya iaitu Sabah FC akhirnya menjadi kenyataan apabila ditawarkan kontrak bermain untuk musim 2024/2025.
Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Hj Wid bagaimana pun berkata, Sabah FC dan Rozaimi mencapai kata sepakat apabila beliau hanya akan bermain dan berlatih bersama-sama pasukan MFL B-23 Sabah FC.
“Sabah FC memanggil semula Rozaimi kerana beliau berpengalaman luas dalam bola sepak dan merupakan ikon yang dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda,” kata Joh pada Majlis Menandatangani Kontrak di pejabat Sabah FC di Kota Kinabalu,
Nama Rozaimi mula menjadi sebutan selepas anak jati Bongawan itu pernah muncul penjaring terbanyak Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon, Myanmar dengan meledak 10 gol buat skuad B-22 negara.
Malah, dia juga pernah memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan tiga gol ketika perlawanan Malaysia menentang Myanmar pada Pestabola Merdeka 2013.
Selain Rozaimi, Johnny Dominicus turut dilantik sebagai Ketua Jurulatih bersama-sama Vun Kit Ming @ Billyton dan Razlan Oto yang masing-masing dilantik sebagai Pembantu Jurulatih Sabah FC B-23.
Bekas jurulatih penjaga gol B-23 tahun lalu, Rozaimie Rohim turut menandatangani kontrak sebagai Jurulatih Penjaga Gol Sabah FC B-23. Kesemua mereka ditawarkan kontrak untuk musim 2024/2025.
Skuad Sabah FC B-23 merupakan skuad transisi bagi memilih komposisi pemain-pemain lokal seperti yang diingini majoriti penyokong-penyokong tempatan.
Joh turut mengalu-alukan perlantikan kesemua jurulatih dan Rozaimi selaras dengan misi kelab.
Hadir sama menyaksikan majlis itu, Pengurus Pasukan MFL B-23, Sabah FC, Datuk Abdul Kassim Razali, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Muhd Arziz Afizy Rumsani dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Sabah FC, Syazwan Imran.