LEE Zii Jia dipercayai akan menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) Road to Gold (RTG) tidak lama lagi.

Keyakinan itu disuarakan pengerusi bersama jawatankuasa program RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas melihat perkembangan menerusi laporan media, yang melaporkan pemain ranking ke-11 dunia itu komited untuk memeterai perjanjian RTG.

Pengerusi bersama jawatankuasa RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin Lee Zii Jia akan tandatangan LOC.

“Saya dimaklumkan bahawa dia berada di sini dan daripada apa yang saya dengar menerusi laporan media bahawa dia akan menandatangani perjanjian itu.

“Jadi tiada sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan.

“Lagi cepat dia tandatangani kontrak lagi  banyak bantuan kita boleh berikan kepada dia di bawah program RTG ini,” katanya.

Lee Zii Jia, satu-satunya atlet yang berada dalam senarai Road to Gold belum menandatangani pembaharuan persetujuan komitmen, dan diberi masa sehingga 14 November untuk berbuat demikian.

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, itu satu-satunya dari 15 atlet yang tersenarai daripada dalam RTG tidak menandatangani LOC.

Dia diberi tempoh sehingga 14 November ini untuk menandatangani kontrak perjanjian persetujuan komitmen baharu untuk terus berada dalam program RTG.

Begitupun, menerusi jawapan Norza itu menunjukkan bahawa Zii Jia belum menjawab mahupun menemui koordinator jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam selepas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu mengakui hanya melihat perkembangan menerusi media massa.