TEMASYA Olimpik Paris semakin hampir, segala perancangan diatur program Road to Gold (RTG) hendaklah dilaksanakan seberapa segera.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berharap agar segala-gala yang mahu dilakukan dalam program tersebut perlu dipercepat memandangkan lebih banyak urusan yang perlu dilakukan bagi memenuhi kehendak atlet biarpun ada kesinambungan daripada program Podium.

“Saya percaya dalam jangka pendek ini… kita hanya ada kira-kira 14 bulan sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik Paris bermula.

“Kita perlu melakukan segala gerak kerja dengan lebih pantas dalam memastikan setiap perkara diperlukan dilaksanakan tepat pada masanya.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill harap pelaksanaan program Road to Gold disegerakan. -Pix AUNI SYAFIQAH ROSMADI

“Begitupun, saya yakin momentumnya sudah ada dan kita sendiri sudah membuat perancangan dari Januari hingga Disember, saya yakin menteri tahu apa keutamaannya,” kata Amarjit, pada majlis berbuka puasa bersama Media.

Sejak RTG dilancarkan 12 Mac lalu, Jawatankuasa RTG hanya bermesyuarat pertama pada Khamis dan semalam (Jumaat), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan 15 senarai atlet yang layak berada dalam program tersebut, yang sepatutnya sudah diumumkan sejak pelancaran lalu.

Jawatankuasa Road to Gold bermesyuarat kali pertama pada Khamis, selepas dilancarkan 12 Mac lalu, menyenaraikan 15 atlet dalam program terbabit, 11 daripadanya atlet badminton, dua basikal trek dan dua terjun.

Malah Hannah dalam sidang media di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam, mengesahkan Penyelaras Program diketuai Stuart Ramalingam, bersama ahli jawatankuasa yang terdiri daripada bekas atlet, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David serta Datuk Mirnawan Nawawi, belum memulakan sesi pertemuan dengan atlet, bagi mendapatkan input mengenai keperluan atlet berkenaan, mendapatkan persetujuan dan menandatangani kontrak menyertai RTG.

Malah, Hannah turut mengesahkan proses bertemu 15 atlet itu akan mengambil masa sebulan untuk diselesaikan.

Sementara itu, Amarjit berterima kasih kerana Jawatankuasa RTG menyenaraikan dua atlet berbasikal treknya, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, kerana dua pelumba terbabit sememangnya prospek terbaik memenangi pingat di Olimpik.

Trio Sprint Berpasukan negara, Datuk Azizulhasni Awang, Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis. – Pix AFP

“Sebenarnya kami membuat permohonan untuk disenaraikan tiga pelumba kita termasuk Mohammad Fadhil Zonis, iaitu atlet pelapis.

“Tapi kita faham kerana senarai awal ini boleh berubah dari masa ke masa dan kami akan mengajukan sekali lagi nama Fadhil kepada Jawatankuasa RTG. Fadhil menjadi pelan sokongan kita sekiranya dua pelumba (Azizulhasni dan Shah Firdaus) mengalami kecederaan atau isu lain.

“Selain itu, Fadhil juga berada dalam perancangan kita untuk aksi pecut berpasukan yang membabitkan tiga pelumba iaitu Azizulhasni, Shah Firdaus serta Fadhil sendiri.

“Ini juga hasrat disuarakan jurulatih John Beasley. Kita tidak boleh menunggu pengesahan atlet layak ke Olimpik iaitu selepas berakhirnya pusingan kelayakan tahun hadapan, baharu kita nak masukkan namanya.”

Mohd Fadhil Zonis penting kepada skuad trek kebangsaan, muncul pelapis dan pelumba gantian terbaik.

Tambah beliau, dari segi penambahbaikan yang diperlukan atlet berbasikal trek kebangsaan dalam program RTG, perkara itu perlu dibincangkan bersama Beasley, namun beliau tidak melihat wujud kelemahan ketara program Podium sedia ada dengan sokongan padu Majlis Sukan Negara(MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kemengerian Belia dan Sukan (KBS).

“Dari segi kelengkapan saya rasa kita mendapat sokongan penuh dan padu, mungkin antara aspek perlu dititik beratkan adalah penbyelidikan dan pembangunan (R&D), kerana aspek kecil pembangunan kelengkapan, serta pakaian digunakan memberi kesan besar terhadap kelajuan dan masa yang dicatatkan.”

Meskipun skuad berbasikal trek kebangsaan berada di Mallorca, Sepanyol dalam sesi latihan di Eropah ketika ini, dan hanya akan kembali ke tanah air 17 April, Amarjit yakin pelumba yang disenarai ke RTG tiada masalah untuk bersetuju menyertai program tertinggi untuk kemajuan sukan negara itu.