PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih ada masa untuk membuktikan potensinya sebagai penyumbang emas Sukan Olimpik Paris 2024, namun perlu mempamerkan konsistensi pada setiap kejohanan yang disertai.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau masih mampu bersabar dan memberi peluang kepada pemain ranking ke-10 dunia itu, kerana yakin pemian itu tetap aset negara untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
“Dia adalah aset dan bukan senang kita nak gilap aset lain. Jika nak gilap aset muda, mungkin untuk lima tahun akan datang.
“Dia antara potensi Road to Gold (RTG), tapi sampai satu masa, dia tak boleh buktikan, kita terpaksa buat satu keputusan.
“Tapi saya yakin dengannya, kita bagi dia ruang, dia memang pemain yang bagus dan kita kena bentuk dia,” kata Hamidin.
Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan, Zii Jia dan pemain-pemain badminton lain yang berada dalam RTG perlu memastikan mereka layak sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir dalam kejohanan-kejohanan akan datang.
“Ini bukan masa untuk fikir mengenai pingat emas atau perak (Olimpik) kerana masih ada banyak kejohanan perlu diharungi. Mereka perlu menetapkan diri untuk bermain di suku akhir, separuh akhir atau final.
“Ketika Piala Sudirman, dia (Zii Jia) menang semua perlawanan, namun di Malaysia Masters, dia tersingkir di pusingan kedua. Prosesnya memang macam itu, bangkit secara perlahan-lahan,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidin turut menggesa Zii Jia supaya mengembalikan prestasi terbaik sekiranya mahu mengekalkan kedudukannya dalam senarai program RTG yang diumumkan sebelum ini.
“Zii Jia sekarang sudah jatuh ke ranking 10 dunia, jadi kita kena pastikan dia kembali ke prestasi terbaik dan hanya masa yang akan menentukan. Ini bukan masalah peminat suka atau tak suka kerana saya tidak suka berkompromi.
“Sekiranya dia betu-betul mahu, dia perlu buktikan dengan melayakkan diri ke final atau meraih gelaran juara kerana semua ini adalah demi negara,” ujarnya.
Mengulas isu lain, Hamidin menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) melihat masa hadapan sukan negara terutamanya menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 dan Ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada edisi 2027 nanti.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, tidak dinafikan skuad negara kalah Sukan SEA Kemboja, namun “kita tak boleh menangis terus yang kita kalah, we must talking about 2025 di Bangkok dan 2027 di Malaysia.”
Tegasnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak boleh dipersalahkan berikutan prestasi hambar kontinjen Sukan SEA di Kemboja, yang gagal menepati sasaran 40 emas dan hanya membawa pulang 34.
“Saya pertahankan Hannah, hanya beberapa bulan (menjawat jawatan Menteri) dan melakukan tugasan yang baik hingga hari ini.
“Dia cuba melakukan segala benda dalam tempoh baharu enam bulan, saya rasa setiap hari dia bertemu persatuan sukan, jadi MSN perlu dipertanggungjawabkan kerana mereka yang berkolaborasi dengan persatuan sukan,” kata Hamidin.