STADIUM Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras yang bakal dijadikan rumah kedua Harimau Malaya kini bersedia sepenuhnya menanti Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Maldives, Rabu malam.

Persiapan menjadi tuan rumah buat skuad kebangsaan bukanlah dilakukan sekadar tangkap muat sahaja apabila syarikat yang mentadbir urus Kompleks Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Arcadin Services Sdn Bhd melaksanakannya sebaik sahaja tamat saingan Piala Malaysia, 26 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Arcadin Services Sdn Bhd, Afizal Abu Othman menjelaskan, keadaan padang kini berada dalam keadaan terbaik selepas kerja-kerja penjagaan dijalankan mengikut perancangan.

Stadium KLFA dilihat bersedia menerima pasukan Harimau Malaya dan Maldives serta penyokong-penyokong pada Rabu.

“Sistem pengaliran air juga telah diuji ketika ini dalam keadaan cuaca hujan lebat pada waktu petang dan juga malam.

“Sekiranya hujan luar biasa dan lebat berlaku, jangka masa sekurang-kurangnya 15 minit diperlukan untuk memastikan padang tidak bertakung dengan peranan sistem pengaliran air.

“Tetapi jika hujan yang sering berlaku ketika ini, mungkin tempoh masa yang tidak lama diperlukan untuk memastikan keadaan padang kembali berada dalam keadaan terbaik.

“Kita memang sudah bersedia sepenuhnya, selepas pasukan Kuala Lumpur City FC tidak menggunakan padang tersebut untuk latihan, kerja-kerja pembaikan dan naik taraf tlah dijalankan,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN, Selasa.

Aksi perlawanan pertama Harimau Malaya bertemu Kemboja Jumaat lalu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tambahnya lagi, kerisauan masalah lampu limpah stadium yang tidak berfungsi dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga telah dipertingkatkan.

“Jika masalah lampu limpah ini berlaku lagi jangka masa sekurang-kurangnya lapan minit diperlukan untuk kembali pulih.
“Kami sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan mengharapkan perlawanan tersebut berjalan dengan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Penggunaan stadium KLFA Cheras sebagai venue Harimau Malaya menentang Maldives bagi perlawanan persahabatan adalah kali pertama memandangkan sebelum ini Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah rumah pertama Harimau Malaya.