LIVERPOOL FC kini telah meletakkan harga rumah mewah milik Jurgen Klopp bernilai 22 juta untuk dijual selepas penggantinya, Arne Slot, menolak untuk berpindah ke kediaman tersebut.
Menurut sumber terdekat, Slot dan isterinya, Mirjam, telah meninjau rumah mewah tujuh bilik tersebut, namun dia yang mengambil alih tugas pada musim panas lalu memilih untuk tinggal di tempat lain.
Atas sebab itu, kelab memutuskan untuk menjual rumah tersebut dan menamatkan hubungan 20 tahun dengan kediaman berkenaan.
Rumah mewah yang terletak di Formby, Merseyside, pertama kali dibeli oleh bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard pada tahun 2005 selepas ia dibangunkan oleh seorang pemaju tempatan.
Tambahan, rumah ini juga dilengkapi dengan tiga ruang tamu, bilik permainan, kolam renang, gym dua tingkat, solarium, jacuzzi, sauna, dan panggung wayang.
Apabila Gerrard meninggalkan Liverpool untuk menyertai LA Galaxy pada tahun 2015, beliau menjual rumah tersebut kepada pengurus Liverpool yang baharu ketika itu, Brendan Rodgers.
Pada tahun 2019, Liverpool membeli rumah ini sebagai pelaburan dan membenarkan Klopp serta isterinya, Ulla, untuk tinggal secara percuma.
Arne Slot, yang sebelum ini cemerlang di Feyenoord, menikmati permulaan terbaik sebagai pengurus di Anfield, dengan 11 kemenangan daripada 12 perlawanan pertamanya.
Walaupun ditawarkan kediaman mewah ini, dia memilih untuk tidak berpindah ke Millionaire’s Row, dan kini Liverpool telah mengambil langkah untuk menjualkannya di pasaran.