PASUKAN Terengganu FC boleh menjangkakan satu aksi yang baik apabila beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Liga Malaysia musim 2024-25 selepas padang di stadium itu siap dibaik pulih dan diselenggara.

Stadium dengan kapasiti 50,000 tempat duduk itu menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 dan muncul antara venue yang mempunyai permukaan padang cukup baik untuk aksi bola sepak dan bertaraf antarabangsa.

Sebelum ini, stadium di Kompleks Sukan Gong Badak itu pernah menganjurkan dua perlawanan antarabangsa Tier 1 melibatkan Harimau Malaya dan Piala AFC melibatkan Terengganu FC.

Keadan terkini padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Perkara ini disahkan oleh Bahagian Infrasruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi milik mereka selepas pihak kontraktor yang dilantik selesai menjalankan tugas penyelenggaraan major.

“Hampir 80 peratus rumput Bermuda Princess 77 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri Terengganu telah pulih setelah melalui kerja-kerja penyelenggaraan major.

“Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu juga telah melakukan kerja-kerja pemotongan rumput mengikut ketinggian seperti hari perlawanan,” menurut kenyataan itu.

Keadaan padang yang kelihatan cantik dan rata

Sebelum ini kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju untuk mewujudkan sebuah nurseri serta tapak pembenihan rumput jenis Bermuda Princess 77 bersebelahan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bertujuan untuk menyediakan rumput gantian sekiranya berlaku kerosakan pada mana-mana bahagian padang.

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu mahu wujudkan nurseri rumput bersebelahan stadium

Hasrat ini dimaklumkan sendiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.