PELUMBA pasukan Mercedes AMG Petronas, George Russell dan Lewis Hamilton melihat kembali keputusan sesi kelayakan yang disifatkan sebagai impian dan mula mengintai peluang untuk meraih kemenangan dalam Grand Prix Australia pada Ahad.

Russell berjaya meletakkan jentera Mercedes di barisan hadapan dan dia menjelaskan sedikit kecewa kerana gagal merampas petak pertama manakala teman sepasukan, Lewis Hamilton juga mahu untuk mencipta kemenangan.

Pelumba Britain berusia 25 tahun itu ketinggalan hanya 0.236 saat di belakang pendahulu keseluruhan, Max Verstappen manakala Hamilton di petak ketiga dengan Fernando Alonso bakal bermula di sebelahnya di petak keempat.

“Sudah pasti kami tidak menjangkakannya. Banyak kerja keras telah dilakukan di kilang dan juga di Melbourne dan ianya sungguh menakjubkan. Kereta sangat hangat dengan pusingan terakhir benar-benar ditahap terbaik yang sama mampu lakukan dan sejujurnya, saya kecewa tidak berjaya mendapat petak pertama.

“Sekarang kita perlu mengintai peluang mencatat kemenangan. Max sudah tentu akan terlalu pantas dan itu bukanlah rahsia. Ianya agak sukar untuk memintas di sepanjang litar ini oleh itu permulaan dan pusingan pertama akan menjadi sangat penting.

“Red Bull sangat pantas dan sukar untuk bersaing dengan Max tetapi kita lihat bagaimana ianya akan berlaku dan jika kita mendapat peluang, kami akan gunakannya,” katanya selepas sesi kelayakan di Litar Albert Park.

George Russell di Grand Prix Australia

Sementara itu Lewis Hamilton yang bakal bermula di petak ketiga juga mengakui ianya adalah sesi kelayakan impian untuk kedua-dua jentera Mercedes selepas hanya mampu bermula di petak ketujuh dalam dua perlumbaan sebelum ini.

“Saya sangat gembira kerana ianya diluar jangkaan. Saya sangat puas berbangga dengan pasukan. George lakukan tugas yang baik hari ini dan untuk kami berdua berada di dua barisan hadapan adalah umpama mimpi bagi kami.

“Kami berkerja sekeras yang mungkin mengikut kemampuan kami untuk memastikan kami kembali ke hadapan, jadi ini adalah yang paling hampir kami kepada Red Bull. Saya berharap kami mampu mencabar mereka pada perlumbaan esok dan berlumba dalam keadaan cuaca yang baik,” tambahnya yang masih mencari kemenangan pertama sejak 2021.