RUSSEL Alexander Nasir Taib berada dalam senarai akhir pelari pecut lelaki negara yang akan dibawa menggalas cabaran di temasya Sukan Asia, Hangzhou, September depan.

Prestasi yang sedang meningkat naik, menjadi antara faktor khidmat pelari yang kini berpangkalan di Australia itu, diperlukan untuk membantu kuartet negara melakukan larian lebih pantas di bawah 39 saat (s).

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berkata, beliau yakin dengan kemampuan barisan pelari negara yang kini berada di tahap terbaik.

Russle Alexander Taib akan perkuat kuartet 4x100m lelaki di Sukan Asia Hangzhou.

“Russel dipanggil untuk memperkuatkan barisan kuartet negara. Dia akan kembali ke Malaysia untuk menjalani latihan pusat bersama-sama pelari kuartet negara yang lain.

“Saya menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap pasukan ini dan yakin mereka mampu memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 4x100m,” katanya.

Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m, 39.09s dicatatkan pada temasya Sukan Sea Hanoi menerusi Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail sekali gus membolehkan kuartet negara meraih pingat perak.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin kuartet 4x100m lelaki, mampu catat masa bawah 38s di Sukan Asia Hangzhou.

Ketika ditanya mengenai keputusannya tidak mengekalkan barisan pelari pecut yang merakam rekod kebangsaan itu, Poad berkata, Zulfiqar terpaksa digugurkan kerana beberapa faktor dan tempatnya diambil oleh Russle yang mana prestasinya semakin meningkat.

Difahamkan, ketika ini, seramai enam pelari pecut diketuai oleh pemenang rekod kebangsaan 100 meter (m), Azeem, Russel, Khairul Hafiz, Haiqal, Johnathan Nyepa dan Arsyad akan ke Hangzhou.

Muhammad Azeem Fahmi dan Khairul Hafiz Jantan sah akan beraksi dalam acara 100m lelaki di Sukan Asia HAngzhou. -Pix Agency

Bagaimanapun, Poad mengesahkan bahawa pihaknya belum memutuskan pelari yang akan beraksi dalam 4x100m.

“Ketika ini dalam perancangan, semua akan beraksi. Azeem dan Khairul akan berlari dalam acara 100m.

“Keadaan Haiqal juga semakin baik dan dia kini sudah pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya sudah pulih.”

Haiqal mengalami kecederaan sebelum skuad olahraga negara berlepas ke Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, bulan lalu.

Pada aksi di kejohanan itu, kuartet negara yang dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Jonathan dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan saingan di kedudukan keenam selepasmelakukan catatan 39.17s.

Thailand mendominasi acara dengan mencatat rekod baharu 38.55s.