PEMAIN sayap PJ City FC, Ruventhiran berkata permainannya bersama kelab PJ City FC banyak membantu sesi latihannya dalam skuad senior kebangsaan.
Jelasnya, dia teruja untuk mengetahui corak permainan pasukan yang bakal diterapkan Kim Pan-gon memandangkan pertama kali di bawah kendalian jurulatih dari luar negara itu.
Meskipun kali pertama beraksi, dia yakin akan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan kebangsaan sambil menyifatkan aksi bertemu Brunei merupakan sesi pemanas badan bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Akhir Pusingan Piala Asia 2023.
“Saya sangat teruja untuk mengetahui cara latihan Kim Pan Gon, jadi saya sangat teruja untuk mengetahuinya. Pertama sekali, saya harus fokus untuk perlawanan menentang Brunei sebagai motivasi sebelum kelayakan Piala Asia.
“Saya suka bermain dan berlari jadi ianya bukan masalah besar bagi saya, PJ City banyak membantu saya untuk bermain permainan berintensiti tinggi,” ujarnya ketika ditemui media pada Rabu.
Sementara itu, penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid mengakui pasukan kebangsaan sedikit berkelebihan kerana beraksi di laman sendiri serta sorakan peminat akan membantu mereka beraksi lebih baik.
Bagaimanapun Safawi tidak menolak adanya tekanan yang bakal dihadapi tetapi mengambil Ia sebagai suatu cabaran untuk dilaksanakan dengan baik.
Tambahnya, jika diberi peluang, dia akan cuba untuk melakukan sesuatu meskipun sedar pasukan kebangsaan sudah lama tidak beraksi di laman sendiri.
“Bagi saya tiada masalah, kerana bermain di tempat sendiri adalah satu kelebihan bagi kami dan penyokong menjadi punca semangat untuk beraksi dengan baik.
“Bermain sebagai tuan rumah tetap memberi tekanan kerana harapan penyokong tetapi saya akan ambil ia sebagai suatu cabaran.
“Kalau saya diberi peluang, saya dan pasukan akan cuba melakukan sesuatu untuk Malaysia tapi kita dah lama tidak bermain sebagai tuan rumah.
“Saya rasa gabungan pemain muda dan senior adalah yang terbaik untuk kita layak ke Piala Asia, ” jelas Safawi.
Malaysia bakal menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar (27 Mei), Hong Kong (1 Jun), serta tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) yang kesemuanya dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.