SRI Pahang FC mengumumkan pemain import dari Uzbekistan, Ruziev Kuvondik, tidak lagi akan bersama pasukan dalam baki saingan musim ini.

Keputusan ini dibuat selepas Ruziev menerima tawaran untuk kembali bermain di negara kelahirannya bersama kelab Neftchi Fergana.

Menghormati keputusan tersebut, kelab Sri Pahang FC dengan rela hati bersetuju melepaskan Ruziev dan mengucapkan selamat maju jaya bersama pasukan barunya.

“Kelab turut merakamkan setinggi ucapan terima kasih buat Ruziev atas sumbangan sepanjang semusim di SPFC. Semoga terus mengorak langkah dalam karier! ,” menurut hantaran Facebook rasmi Sri Pahang pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN : Sri Pahang rekrut Ruziev perkuat jentera tengah

Sepanjang semusim bersama Sri Pahang FC, Ruziev telah memberikan sumbangan yang amat berharga dan menunjukkan prestasi yang membanggakan di atas padang.

Walaupun ketiadaan Ruziev akan dirasai, skuad kendalian Fandi Ahmad masih memiliki lima pemain import yang berkaliber, iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Aleksandar Cvetkovic (Serbia), Manuel Hidalgo (Argentina), dan Mykola Ahapov (Ukraine).

Bagi musim 2024/2025, pemain tengah berusia 30 tahun itu bermain empat perlawanan termasuk satu perlawanan dalam aingan Piala FA.