PEMILIK bersama kelab Wrexham, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney yang mengambil alih kelab itu sejak 2021 tidak menyangka akan kehilangan banyak wang ketika mengendalikannya.

Selepas hampir terlepas mendapatkan kenaikan pangkat dalam musim pertama mereka sebagai pemilik Hollywood, Wrexham telah dipromosikan ke Liga Dua pada musim lalu.

Difahamkan, duo Hollywood ini pada mulanya membayar £2 juta (RM11,660,345.77) untuk mengambil alih kelab itu semasa pandemik namun mengalami kerugian sebanyak £10 juta (RM58,288,722.75) dalam usaha untuk membimbing Wrexham ke peringkat liga yang lebih tinggi.

Rakaman ini diambil sebagai sebahagian daripada siri baharu ‘Welcome To Wrexham’ yang mendokumentasikan perjalanan pemilikan pasangan duo ini terhadap kelab itu.

McElhenney yang terkejut dengan berita itu bertanya kepada penasihat kelab mereka, Shaun Harvey bila mereka berdua boleh mula mengaut keuntungan daripada kelab yang telah dikendali selama dua tahun.

Bagaimanapun, Harvey menjawab : “Nilai yang datang dari daya tarikan global yang telah kami cipta akan menampung kos tambahan yang dicipta. Perubahan terbesar yang akan berlaku pada kenaikan pangkat adalah orang ramai boleh melihat nilai ‘Welcome to Wrexham’ yang sedang dibina dan ketika itulah pendapatan tambahan dari para penaja boleh dijana.”

Harvey turut menegaskan jika Reynolds dan McElhenney menjual kelab itu sekarang, mereka akan menerima bayaran yang jauh lebih tinggi daripada £10 juta yang telah mereka laburkan kepada kelab itu dahulu.

Salah satu bidang pertumbuhan yang boleh membuatkan pemilik kelab dapat menjana lebih banyak pendapatan ialah dengan peningkatan jumlah pengikut di media sosial Wrexham. Kini, pengikut Wrexham di media sosial telah meningkat sebanyak 921 peratus sejak diambil alih.

Rob McElhenney and Ryan Reynolds at the FYC event for "Welcome To Wrexham"

Hal ini dapat diperkukuhkan lagi selepas Wrexham menandatangani perjanjian dengan TikTok pada tahun 2021 menjadikan platform tersebut penaja untuk bahagian hadapan baju. Dalam hanya tujuh bulan menandatangani perjanjian bersama TikTok, Wrexham berjaya merperoleh sebanyak 100,000 jumlah pengikut. Terkini, kelab tersebut mempunyai lebih daripada 1.4 juta pengikut dan telah menerima lebih daripada 16.9 juta tanda suka.

Dalam perkembangan bola sepak, Wrexham berjaya menunjukkan permulaan yang baik dalam Liga Dua musim ini. Kelab tersebut kini menduduki tempat ketiga dalam jadual dengan 30 mata selepas 16 perlawanan dimainkan dan bakal menentang pasukan Mansfield Town dalam peringkat pertama Piala FA awal pagi Ahad.