KEMERIAHAN penyokong Sabah FC yang hadir di Stadium Likas dan juga mana-mana stadium yang lain tidak perlu dipertikaikan kerana penyokong The Rhinos ini sentiasa berada di belakang pasukan mereka.

Bukan hanya melibatkan penyokong lelaki, tetapi kini para penyokong wanita juga semakin ramai yang hadir ke stadium memberikan sokongan tanpa mengira siapakah lawan yang ditentang.

Menjelang pertemuan Liga Super di antara Sabah FC dan PJ City FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam ini, para penyokong Sabah FC dilihat sangat teruja dan mahu sekali lagi membanjiri stadium seperti yang dilakukan sebelum ini ketika menentang Selangor FC.

 

Salah seorang penyokong yang ditemubual oleh FLASH SUKAN, Ryna Nzita Raimon mahukan para pemain memberikan aksi yang terbaik dan dapat membawa pulang tiga mata ke Kota Kinabalu.

“Saya berharap agar Sabah FC dapat buat yang terbaik dan juga tidak mahu ada pemain yang tercedera. Menang dan kalah itu adat permainan tetapi apa yang penting adalah para pemain sudah berjuang namun saya tetap yakin Sabah FC mampu membawa pulang tiga mata,” kata gadis asal Kota Belud ini.

Ryna Nzita

Ryna yang juga seorang penari dan meminati tarian K-Pop ini sememangnya adalah penyokong tegar yang sentiasa hadir menyaksikan perlawanan Sabah FC di Stadium Likas.

Semoga Sabah FC mampu melakar keputusan positif bagi memastikan mereka masih dalam momentum terbaik untuk mencabar Johor Darul Ta’zim di persada Liga Super.