PEMENANG pingat emas Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China, S Sivasangari antara enam atlet disenarai pendek bagi perebutan Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Kejayaan ratu skuasy dalam pembikinan kelahiran Sungai Petani, Kedah ini meraih dua pingat emas menerusi acara individu dan berpasukan sekali gus menjadi antara atlet negara yang cemerlang di pentas sukan Asia 2023.

Meskipun berdepan episod duka di awal tahun, S Sivasangari memastikan namanya dipahat sebagai juara di kejohanan skuasy Hong Kong Football Club Open pada November tahun lalu.

S Sivasangari bagaimanapun perlu berdepan tentangan daripada rakan sepasukan, Ng Eain Yow yang turut meraih emas dalam acara individu di temasya Sukan Asia Hangzhou, China.

Sivasangari mempamerkan aksi cemerlang pada 2023.

Pemain berusia 25 tahun ini juga turut merangkul masing-masing satu pingat emas dan gangsa di Kejuaraan Asia ke-22 yang berlangsung di Hong Kong pada Jun.

Dua pemain skuasy ini akan berdepan persaingan dengan tiga lagi atlet; Wong Weng Soon dari sukan wushu yang meraih pingat emas (changquan), perak bagi disiplin (jianshu) dan gangsa (qianshu) di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat pada November 2023.

Pengerusi Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Hazreen Mubarak melihat edisi 2023 memperlihatkan beberapa wajah baharu dalam senarai akhir membuktikan Malaysia sentiasa memiliki permata sedang digilap.

“SAM mewakili pengamal media sukan tanah air berharap pengiktirafan dan penghargaan menerusi dua kategori untuk atlet negara dan atlet para negara di Anugerah SAM-100PLUS yang dilangsungkan setiap tahun akan menyuntik semangat atlet muda negara untuk berjuang dan membuktikan kemampuan mereka untuk cemerlang di pentas dunia atas slogan Demi Malaysia.

Hazreen (kiri) dan Norazrin bersama trofi sempena Anugerah SAM–100PLUS 2023 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 6 Jun.

“Pengamal media juga sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi bukan sahaja kepada atlet tetapi semua pemegang taruh dalam industri sukan di Malaysia,” kata Hazreen.

Terdahulu, Hazreen menerima kunjungan Pengarah Penglibatan Kerajaan & Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee.

Kerjasama antara SAM dan 100PLUS sudah terjalin sekian lama dan sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa. Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM 10,000 dan trofi.

Anugerah Persatuan Penulis-Penulis SukanMalaysia (SAM) – 100PLUS 2023 dijadual berlangsung pada 6 Jun 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.