PEMAIN skuasy wanita negara, S. Sivasangari kembali merasai nikmat bergelar juara selepas menampilkan aksi bertenaga ketika merangkul kejuaraan Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz yang berlangsung di Pusat Skuasy, Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Haji Mohd Said, Seremban.

Diturunkan selaku pilihan pertama, Sivasangari berjaya mengenepikan penyandang juara, Aira Azman di final dengan kemenangan 11-8, 11-8, 11-9.

“Saya bersyukur kepada Tuhan atas kejayaan ini kerana jika kenang kembali apa yang terjadi kepada diri saya tahun lalu, saya sendiri tidak pasti sama ada saya masih boleh bermain skuasy atau tidak.

“Seronok dapat kembali ke gelanggang semula, dan lebih manis saya berjaya memenangi kejohanan ini, dan saya harap dapat meneruskan momentum.

“Ini adalah sesuatu yang bagus menuju ke Sukan Asia kerana itu merupakan satu kejohanan yang penting tahun ini. Saya masih ada dua kejohanan sebelum menyertai skuad kebangsaan, dan saya mempunyai sasaran peribadi tersendiri di Hangzhou,” jelas Sivasangari.

Selepas ini, Sivasangari akan terbang Doha bagi menyertai Kejohanan Skuasy QTerminal Qatar Classic yang akan berlangsung minggu hadapan.

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Aly Hussein dari Mesir berjaya menumbangkan pilihan kedua kejohanan, Muhammad Asim Khan dari Pakistan untuk bergelar juara edisi kali ini.

Aly Hussein berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan untuk melakar keputusan 11-3, 11-1, 11-4.