SABAH FC belum memutuskan untuk menandatangani kontrak pemain import terbaharunya bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-2025 yang dijadualkan bermula Mei depan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata ketika ini Sabah FC masih meneliti prestasi serta keupayaan sebenar pemain import itu meskipun sudah menyertai sesi latihan sejak beberapa hari lalu.

“Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama kita dan apa yang saya lihat prestasinya cukup positif dan ini akan kita umumkan dalam masa terdekat sama ada akan menandatangani pemain baharu ini atau pun tidak.

“Kalau kita lihat daripada segi persiapan pasukan-pasukan lain sudah tentu mereka telah bermula lebih awal lagi serta menandatangani beberapa pemain import bagi mengukuhkan pasukan mereka dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Kim Swee berkata setakat ini Sabah FC masih mengekalkan pemain import sedia ada sekali gus akan menetapkan sasaran berada antara lima kelompok pasukan terbaik Liga Malaysia musim ini.

“Kita lihat sasaran ini sangat positif serta berharap Sabah FC mampu melakukannya sekali gus cuba memperbaiki kelemahan daripada musim liga yang lalu,” jelas Kim Swee.

Pasukan Sabah sudah memulakan sesi latihan

Sementara itu dalam perkembangan sama Kim Swee merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menganjurkan perlawanan jemputan bagi menguji keserasaian dalam kalangan pemain sedia ada.

“Kita akan maklumkan dalam masa terdekat kemungkinan besar akan ada kejohanan Piala Sabah Maju (SMJ) pada April atau awal Mei dan keputusan akan diumumkan pihak pengurusan dalam masa terdekat,” tambah Kim Swee.

Menurutnya lagi setakat ini semua pemain sedia ada sudah melaporkan diri dalam kem latihan sejak beberapa hari lalu dengan pengecualian kepada pemain yang mewakili skuad kebangsaan.