PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau akan menilai semula semua pemain sebelum memutuskan senarai akhir pemain bagi menghadapi Liga Malaysia 2023 termasuk kejohanan Piala AFC.

Selepas penilaian dilakukan, beliau akan mengambil keputusan sama ada mengekalkan atau menggugurkan mana-mana pemain ataupun menambahbaik pemain bagi memastikan Sabah FC tampil dengan barisan terbaik musim depan.

“Saya harap sesiapa yang dikekalkan dapat terus bersama kerana kita tahu bukan mudah untuk mendapatkan pemain kerana banyak pasukan akan membuat penambahbaikan untuk pasukan masing-masing.

Datuk Ong Kim Swee

“Ini adalah satu pencapaian yang amat baik bagi saya walaupun baru setahun kita bersama-sama tetapi para pemain telah berusaha dengan begitu baik.

“Kita ucapkan terima kasih atas sokongan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Firdaus Akhbar Khan serta pengurus pasukan, Marzuki Nasir yang selalu bersama-sama pasukan.

“Ini menjadikan kita layak ke Piala AFC dengan slot ketiga tetapi saya percaya walaupun lambat itu satu pencapaian yang cukup positif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kim Swee, persiapan awal perlu dijalankan walaupun kejohanan Piala AFC hanya akan bermula pada pertengahan tahun depan.

“Pada awal musim kita harus mengenalpasti kekuatan serta setiap kelemahan kerana ianya akan memberi kelebihan kepada Sabah FC.

“Apa yang penting di sini, saya berharap semua pemain Sabah FC sentiasa cergas kerana kita akan melalui proses yang padat dengan jadual Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan juga Piala AFC,” tambahnya.

Sabah berjaya layak ke Piala AFC 2023 selepas Johor Darul Ta’zim mengesahkan kejayaan menjuarai Piala Malaysia sekaligus slot ke pertandingan tier kelab Asia itu diberikan kepada pasukan tempat ketiga dalam Liga Super.