SABAH FC membuktikan sekali lagi mereka adalah ‘Raja Comeback’ dalam liga apabila sekali lagi bangkit dari ketinggalan untuk mengutip satu mata dalam Liga Super dan menambah tekanan kepada pendahulu liga.
Gol Dominic Tan dua minit selepas babak kedua bersambung dan Saddil Ramdhani lima minit sebelum tamat berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC untuk keputusan seri 2-2 sekaligus ‘comeback’ keenam yang dilakukan Sang Badak musim ini.
Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee juga berjaya mengekalkan rekod enam perlawanan tanpa kalah dalam liga dengan mengumpul 14 mata hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri.
Both team share a point as the game ended in a draw. We look forward to AFC Cup! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/lM65Kt3wC1
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 1, 2022
Kuala Lumpur City FC yang hadir membawa rentak cemerlang mereka dalam Piala AFC berjaya mengambil kesempatan hasil dari sepakan percuma untuk menjaringkan dua gol sebelum dinafikan kebangkitan lewat Sabah.
Giancarlo Gallifuco meletakkan KL City dihadapan seawal minit kelima sebelum Akram Mahinan menggandakan kedudukan pada minit ke-61 namun anak-anak buah Bojan Hodak gagal mengekang asakan bertali arus Sabah untuk sekadar berpuas hati dengan keputusan seri.
Tiga jaringan dari sepakan percuma yang cantik terhasil dalam perlawanan ini dengan kedua-dua pasukan memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol.
Kedudukan seri itu melihatkan Sabah kekal di tangga kedua liga dengan 36 mata selepas 17 perlawanan manakala KL City pula naik ke tangga keempat dengan 22 mata dari 16 perlawanan.