SABAH FC bukan sahaja berjaya menamatkan Kejohanan RCTI Premium Sports di tempat ketiga malah barisan kejurulatihan berjaya mengesan kelebihan beberapa orang pemain untuk menambah baik ‘squad depth‘ untuk digunapakai ketika kempen Liga Malaysia 2024-2025.

The Rhinos terbang ke Jakarta tanpa enam pemain utama namun berjaya menewaskan PSIS Semarang 2-1 pada aksi penentuan tempat ketiga keeempat hasil jaringan Jaffri Chew dan Irfan Fazail pada setiap babak.

Bercakap kepada media di sesi sidang media selepas perlawanan di Stadium Antarabangsa Jakarta, pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee jelas gembira atas kemenangan ini dan berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pemain simpanan dalam dua perlawanan di kejohanan ini.

Datuk Ong Kim Swee dan Rawilson Batuil ketika sesi sidang media selepas perlawanan (kredit foto: Sabah FC)

“Keputusan yang cukup baik di mana seperti yang kita tahu, banyak pemain diberikan peluang untuk bermain dan kemenangan ini penting buat kami kembali selepas tewas kepada Selangor tempoh hari.

“Kami hadir ke Jakarta tanpa enam pemain dengan empat pemain mewakili skuad kebangsaan dan dua tercedera sekali gus beri saya peluang untuk melihat pemain yang jarang diturunkan dan apabila diberikan peluang dalam dua perlawanan ini mereka beraksi agak baik.

“Banyak perkara yang diperolehi terutama dari segi ‘squad depth‘ di mana saya mempunyai pilihan untuk menggantikan pemain-pemain utama sekiranya tercedera dan ini perkembangan yang baik buat Sabah FC,” katanya.

Sabah FC mendapat banyak perkara positif dari kejohanan di Jakarta (kredit foto: Sabah FC)

Menerusi dua perlawanan ini, Sabah berjaya menjaringkan empat gol dengan Jaffri Chew cemerlang dengan dua gol manakala masing-masing satu daripada Irfan Fazail dan Saddil Ramdani.

Sabah akan kembali ke Kota Kinabalu untuk membuat persiapan menghadapi pusingan 16 Piala FA menentang Kuala Lumpur Rovers pada 15 Jun dan jika menang akan menunggu pemenang antara Terengganu FC dan Perak FC di peringkat suku akhir.