EPISOD tewas dengan jaringan besar perlu dilupakan segera oleh pasukan Sabah FC dan hanya fokus untuk mencari kemenangan dalam perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas pada Ahad.

Sabah tewas 1-5 kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim dalam aksi terdahulu meskipun mendahului dan kini perlu mencari mata maksimum dalam pertemuan menentang skuad Warga Kota.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata pemain perlu melupakan kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar itu sekaligus kembali ke landasan sebenar kerana mereka harus mengembalikan keyakinan peminat kepada mereka.

“Sehingga kini, kita masih lagi mempunyai beberapa pemain termasuk Saddil dan Cifuentes berada dalam senarai kecederaan dan kita mempunyai sehari lagi sebelum sepak mula. Saya harap mereka sempat pulih sebelum perlawanan bermula,” katanya.

Kim Swee berkata, Sabah FC memerlukan keputusan positif serta tidak boleh mengalami kekalahan demi kekalahan sehingga mereka kehilangan mata berharga untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam baki perlawanan Liga Super.

“Kita ingin mengekalkan kedudukan di kelompok teratas liga. Ini penting bagi memastikan apabila berakhir nanti Sabah FC berada dalam satu kedudukan yang baik,” katanya.

Dalam aksi pusingan pertama di Cheras, skuad Badak tewas 0-2 hasil jaringan T. Saravanan dan Sean Gianneli tiga mata penuh dituntut untuk mengubah kedudukan dalam liga.