SABAH FC berharap agar dapat berpeluang beraksi pada Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonesia RCTI Premium Sports pada edisi akan datang.

Menurut Pengurus Sabah FC, Rafie Robert, ia kerana kejohanan itu dianggap sebagai pengiktirafan besar kepada Sabah FC sekali gus mampu menguji serta meningkatkan mutu perkembangan bola sepak di rantau ini.

Penyertaan melalui edisi ini secara tidak langsung menjadikan Sabah FC kini semakin dikenali di rantau Asia Tenggara sekali gus menjadikan kejohanan ini menjadi tumpuan di rantau ini.

Sabah FC ketika menyertai kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta (kredit foto: Sabah FC)

“Sabah FC mengiktiraf jemputan oleh RCTI ini, kita bersedia datang lagi menyertai kejohanan ini sekiranya mendapat jemputan untuk menyertainya pada edisi akan datang.

“Selain ia menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan, kejohanan ini akan sentiasa dinanti-nantikan berdasarkan garisan panduan yang ditetapkan untuk menyertai pertandingan ini.

“Tetapi apa yang penting di sini adalah peluang untuk mengukur prestasi setiap pasukan serta kualiti pertandingan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan media selepas berakhirnya kejohanan ini.

Pengurus Sabah FC, Rafie Robert

Selain Sabah FC, kejohanan empat penjuru yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) itu melibatkan dua kelab Indonesia, Persija Jakarta, PSIS Semarang serta satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC.

Sabah FC berjaya merangkul tempat ketiga kejohanan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD10,000 setelah menewaskan PSIS Semarang dengan keputusan 2-1.